SHAH ALAM – Seramai 7,000 pelajar asnaf fakir, miskin dan mualaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima sumbangan tablet berserta data internet melibatkan peruntukan agihan zakat sebanyak RM6 juta.

Inisiatif di bawah Zakat Selangor Peduli (ZSP) itu bertujuan meringankan beban keluarga asnaf dan memudahkan pelajar yang mengikuti sesi persekolahan melalui pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akibat pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop berkata, pemilihan pelajar dilakukan melalui semakan silang dengan pangkalan data Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) bagi mengenal pasti pelajar asnaf yang menduduki peperiksaan SPM 2021.

“Setiap pelajar bukan sahaja menerima sebuah tablet, malahan kemudahan data internet sebanyak RM30 sebulan.

“Pembayaran data internet ini akan dikreditkan oleh LZS ke akaun bank ketua keluarga asnaf atau menggunakan kaedah V-Cash (baucar tunai),” katanya dalam kenyataan sempena Majlis Penyerahan Tablet dan Data Internet di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Majlis tersebut disempurnakan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Hadir pada majlis Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Menurut Saipolyazan, pada masa ini, proses penghantaran tablet dilakukan oleh pembekal yang dilantik bermula akhir September ke alamat rumah pelajar asnaf.

Pada 2 Julai lalu, LZS mengumumkan peruntukan RM69.3 juta di bawah ZSP bagi menyalurkan agihan zakat secara bersasar bertujuan menyantuni asnaf dan golongan B40 terkesan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Sebanyak 19 inisiatif bantuan ZSP disediakan yang memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 431 institusi di Selangor. – Malaysiagazette