Sepasang suami isteri maut ditetak anak kandung sendiri dalam kejadian di Benta, Kuala Lipis.

KUANTAN- Sepasang suami isteri mati warga emas mati ditikam anak lelaki mereka selepas berbual mengenai mengenai isu ketuhanan di Kampung Kemahang, Benta lewat malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dalam kejadian pukul 11.30 malam itu suspek bersama kedua-dua ibu bapanya sedang berbual namun tidak lama selepas itu ibu suspek masuk ke dalam bilik.

Namun suspek dan bapanya terus berbual mengenai ilmu agama dan ketuhanan, ujar beliau.

“Kemudian suspek nampak mata ayah suspek hitam dan seakan hendak menyerang suspek, suspek telah ambil parang dalam bilik dan menetak ayahnya sehingga ayahnya mengatakan ‘dah, dah, dah’ dan berlaku pergelutan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Yusry, sejurus mendengar bunyi bising di luar bilik, ibu suspek keluar dari bilik dan menghampiri suaminya untuk membantu tetapi suspek terus menyerang ibunya menggunakan parang dengan menikam di bahagian kepala dan leher.

Tambah beliau, ibu suspek yang berumur 64 tahun itu terus melarikan diri keluar dari rumah dan rebah berhampiran pagar rumah yang terletak antara 100 hingga 150 meter dari jalan besar.

“Suspek telah keluar mencari ibu, tapi tidak nampak ibu. Suspek masuk ke dalam rumah dan keluar semula dari rumah dan berjalan kaki sehingga ke tepi jalan besar,” ujarnya.

Yusry berkata, suspek yang berusia 31 tahun telah ditahan orang kampung dan semasa ditahan beliau berada dalam keadaan bogel dan berlumuran darah.

Tambah beliau, seorang penduduk kampung telah pergi ke rumah untuk mengetahui apa yang telah berlaku dan melihat ayah suspek yang berusia 68 tahun itu terbaring atas lantai dan tidak bernyawa dengan rumah mangsa dipenuhi darah.

“Di luar pula berhampiran dengan pagar ibu suspek terbaring atas rumput dan tidak bernyawa,” jelasnya sambil menambah orang kampung telah menahan suspek.

Berikutan itu, orang kampung tersebut menghubungi Balai Polis Benta bagi makluman tentang insiden berkenaan.

Mayat kedua-kedua warga emas itu dihantar ke Hopital Lipis untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette