Mohamad Hasan

MASJID TANAH – UMNO belum membuat sebarang ketetapan mengenai kerjasama dengan mana-mana parti dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurut Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang penting sekarang adalah parti itu memperkasa dan mula menggerakkan jentera parti bagi menghadapi PRN kali ini.

“Kita belum putuskan sama ada kita nak kerjasama dengan siapa. Tapi yang pentingnya kita mula bersiap sedia menyiapkan parti kemungkinan macam-macam.

“Jangan kita mengharapkan kekuatan daripada luar untuk membantu kita menang,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan pertemuan dengan jentera-jentera UMNO di kediaman Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Ab Rauf Jusoh.

Mohamad diminta mengulas cadangan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen bahawa parti itu sedia berunding dengan UMNO berhubung pembahagian kerusi bagi menghadapi PRN.

Mohd. Rafiq berkata, perbincangan itu penting bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, perkara itu boleh dicadangkan UMNO Melaka namun segala keputusan akan dimuktamadkan oleh UMNO Pusat.

“Itu terpulang kepada Melaka dan kepimpinan akan mencadangkan kepada pusat kerana Melaka tidak boleh membuat keputusan sendiri.

“Mesti mendapat persetujuan daripada Pusat. Kalau Pusat kata boleh maka boleh,” ulas Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau.

Ditanya mengenai senarai calon daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN), Mohamad berkata, perkara itu masih belum diputuskan.

Katanya, senarai calon untuk PRN Melaka akan ditentukan di peringkat bahagian dan diputuskan di peringkat pusat.

“Belum lagi diputuskan, malam ini baru nak adakan sesi berjumpa selaku Pengarah Pilihan Raya UMNO Malaysia BN untuk beri kata-kata semangat kepada anak buah di Melaka supaya siap sedia sebab kita sudah tidak boleh pusing lagi sebab DUN sudah dibubarkan,” katanya. – MalaysiaGazette