KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor yang kelihatan ceria sejak semalam di hadapan kamera media ketika hadir prosiding bela diri kes rasuah projek solar, menangis teresak-esak ketika perbicaraan tadi.

Rosmah yang berbaju kurung hijau hari ini gagal mengawal emosinya ketika membaca keterangan saksi berhubung kes rasuah RM1.25 bilion.

Tertuduh ketika sedang membaca keterangan sambil menjawab persoalan peguam bela utama, Datuk Akberdin Abdul Kader mengesat mata beberapa kali.

Malah Rosmah dalam keterangannya turut mempersoal mengapakah pendakwaan hanya memilih untuk mendakwanya dan bukan beberapa individu lain seperti bekas pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor.

Rosmah turut bertanya mengapakah pendakwaan memilih untuk tidak mendakwa bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Tan Sri Madinah Mohamed dan Datuk Seri Alias Ahmad kerana wujud kesalahan dan ketidakaturan dalam proses tender kepada Jepak Holdings.

“Pendakwaan tidak mendakwa mereka, sebaliknya panggil mereka sebagai saksi, beri keterangan dan tuding jari kepada saya yang tidak mempunyai kuasa mahupun jawatan dalam kerajaan.

“Tindakan ini sungguh keji dan jahat terhadap saya serta keluarga saya. Ini juga tindakan selektif dan pendakwaan jahat terhadap saya,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

Rosmah berdepan pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsuddin melalui Rizal.

Rosmah kemudian menangis sebelum Akberdin bertanya seandainya beliau dalam keadaan tenang untuk sambung memberi keterangan.

Beliau hanya menangguk sebelum menyambung keterangannya.

Rosmah turut menjelaskan saksi-saksi pendakwaan memberikan kenyataan kononnya beliau telah meminta mereka melicinkan pemberian kontrak kepada Jepak Holdings.

“Apa yang dikatakan oleh mereka (Mahdzir Khalid, Madinah, Alias Ahmad) untuk mempercepatkan kontrak adalah tidak benar sama sekali, malah tidak berasas atau logik.

“Jawapan saya mudah, sekiranya benar ingin dapatkan kepentingan serta bantuan untuk projek solar itu, saya tidak perlu bersusah payah sebaliknya boleh terus minta daripada suami saya, Datuk Seri Najib Razak, yang ketika itu menjadi perdana menteri.

“Namun hal itu tidak pernah berlaku, saya berprinsip untuk tidak campur tangan dalam urusan pentadbiran kerajaan mahupun perolehan kerajaan,” tegasnya. – MalaysiaGazette