Pasukan polis Narkotik membawa keluar mayat suspek penagih dadah yang meninggal dunia ketika diserbu polis di kediamannya di pangsapuri di Taman Dato Senu, Sentul.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah tegar meninggal dunia selepas polis menyerbu pangsapurinya di Taman Dato Senu, Sentul pada petang tadi.

Lelaki itu dilaporkan berada dalam keadaan panik ketika polis Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul melakukan serbuan pada pukul 5 petang.

Suspek bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan ketika polis hendak menahan dia dan hasil pemeriksaan di dalam bilik di pangsapuri itu pasukan pihak berkuasa menemui dadah jenis methapitamine seberat 51.24 gram dan heroin 1.97 gram.

Lelaki berusia 45 tahun terbabit cuba mencapai sabit sebelum anggota polis menggarinya namun tidak lama selepas itu suspek rebah.

Pegawai perubatan dikejarkan ke lokasi tiba 10 minit kemudian dan hasil pemeriksaan mengesahkan kematian suspek.

Turut berada dalam rumah semasa serbuan dilakukan ialah ibu suspek serta tiga lagi ahli keluarga dipercayai anak saudaranya.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan mengenai kejadian tersebut.

“Bagi peringkat awal ini, kes telah diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

“Kita juga sedang meneliti maklumat yang mana sebelum kejadian petang tadi, si mati difahamkan telah mengalami kecederaan selepas bertengkar dengan adiknya di sebelah pagi tadi di rumah sama,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette malam ini. – MalaysiaGazette