Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memakaikan jaket " Penyatuan Ummah" kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Pelancaran Muafakat Nasional Peringkat Negeri Selangor di KKC D Laman Cinta, Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 23 NOVEMBER 2019

 

KUALA LUMPUR – UMNO tidak boleh terus berada dalam situasi ketidaktentuan berhubung kerjasamanya dengan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai pada 14 September 2019.

Menjelaskan kerjasama itu, Presiden UMNO berkata, Perhimpunan Agung UMNO 2020 telah membuat ketetapan tiada kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada PRU-15.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia merupakan sebuah ketetapan yang diamanahkan oleh akar umbi parti keramat agama, bangsa dan negara kepada Presiden UMNO untuk dilaksanakan.

Akar umbi UMNO mempunyai sebab yang wajar berhubung ketetapan itu kerana semua sedia maklum apakah agenda terselindung penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sejak September 2016.

Manakala pimpinan Pas pula ‘mengisytiharkan kesetiaan’ kepada PPBM dan Presidennya, Tan Sri Mahiaddin Yasin selepas menyertai Perikatan Nasional (PN).

Sedangkan mereka juga tahu dengan jelas apakah agenda terselindung penubuhan PPBM seperti yang mereka tahu tentang agenda penubuhan Parti Amanah Negara (PAN), jelas Ahmad Zahid.

Tegas beliau, UMNO tidak lagi boleh berdepan dengan ketidaktentuan tentang MN dalam persiapan dan persediaannya menghadapi PRU-15 kerana ia boleh menganggu dan menyekat kelancaran strategi serta gerak kerja UMNO untuk PRU-15.

Sebaliknya, UMNO perlu segera berdepan dengan hakikat seperti yang rakyat kebanyakan juga dapat melihat hakikat sebenar tentang MN ketika ini.

Lagipun, ramai pihak termasuk dalam kalangan pengundi atas pagar berpandangan UMNO telah dikhianati, maka jika benar begitu tidak mengapa kerana
UMNO kekal bertanding dibawah panji Barisan Nasional (BN) bersama parti komponen dan rakannya yang masih setia kepada perjuangan gabungan ini.

”Dengan semangat berpuluh tahun BN kita gemilangkan kembali semangat itu sebagai wadah perjuangan paling bererti untuk rakyat dan negara menjelang PRU-15.

”Saya yakin BN akan meraih sokongan deras rakyat selepas apa yang rakyat alami, rasai dan saksikan selepas PRU-14 berakhir pada 9 Mei 2018,” terang beliau lagi.

Menurut beliau, Perikatan Nasional (PN) yang dibarisi PPBM dan Pas telah pun mengumumkan mereka telah mencapai kata sepakat – kata sepakat antara mereka untuk menyelesaikan pembahagian kerusi yang akan ditandingi di peringkat Parlimen dan DUN pada PRU-15.

”Justeru sudah terang lagi bersuluh UMNO perlu move on dan melangkah ke hadapan dengan segera. UMNO tidak boleh terus dalam uncertainty, jelas beliau.

Mengulas mengenai persoalan adakah UMNO tidak berusaha menyelamatkan The Real Muafakat Nasional yang dimeterai antara UMNO dan Pas pada 2019, beliau berkata, The Real Muafakat Nasional yang merupakan suatu kerjasama yang wajib bersandarkan kepada penyatuan ummah yang jujur lagi ikhlas.

Jawabnya, UMNO sentiasa berusaha namun tiada guna bertepuk sebelah tangan.

Justeru biarlah demokrasi yang menentukan sehingga tiba PRU-15.

”Ini bukan manifestasi ketamakan, sebaliknya biarlah ia free for all.

”Tetapi UMNO tidaklah “rigid”. Masih ada ruang untuk mempertahankan The Real Muafakat Nasional jika Pas bersedia.

”Ramai berharapkan begitu, namun dalam keadaan sekarang UMNO perlu berdepan dengan realiti semasa,” tegas beliau. – MalaysiaGazette