Azmi Abu Kassim

KUALA LUMPUR – Polis sedang melakukan siasatan terhadap kematian mengejut seorang lelaki disyaki pengedar dadah yang meninggal dunia semasa tangkapan ke atasnya dilakukan di sebuah rumah pangsa dekat Taman Dato Senu, Sentul petang semalam.

Tindakan itu menyusul selepas satu laporan polis dibuat oleh ahli keluarganya yang mendakwa polis telah menggunakan kekerasan semasa menangkap simati di dalam bilik tidurnya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Azmi Abu Kassim berkata, dalam serbuan pada 5 Oktober 2021, jam lebih kurang 5.00 petang, sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sentul, Kuala Lumpur telah membuat serbuan di sebuah rumah flat yang diduduki suspek kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah di sekitar kawasan tersebut.

Dalam serbuan tersebut polis berjaya menangkap seorang suspek lelaki
warga tempatan dan merampas dadah jenis Methamphetamine dan heroin.

“Selepas ditangkap, suspek telah mengalami sesak nafas dan telah disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan.

“Pada hari ini jam lebih kurang 3.15 pagi tadi, polis telah menerima laporan daripada seorang wanita warga tempatan yang merupakan anak saudara kepada suspek (simati).

“Dalam laporan tersebut, anak saudara suspek (simati) mengatakan polis telah menggunakan kekerasan terhadap suspek (simati) semasa melakukan tangkapan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan terbaharu kes tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: 

Tambah Azmi, Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur kini sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap laporan tersebut.

Menurut beliau, mayat suspek (simati) telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat bagi mendapatkan punca kematiannya.

Laporan siasatan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Dalam insiden malam tadi, suspek dilaporkan bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan ketika polis hendak menahannya, sebelum pemeriksaan di dalam bilik itu turut menemui sejumlah dadah jenis methapitamine iaitu syabu dan heroin.

Lelaki terbabit juga dilaporkan meronta-ronta dan cuba mencapai sebilah sabit yang ada tidak jauh darinya sebelum anggota polis berjaya menghalang sebelum menggari tangannya di dalam bilik yang sama.

Bagaimanapun tidak lama selepas itu lelaki (simati) secara tiba-tiba rebah dan pengsan di bilik itu dalam keadaan tangan bergari.

Pegawai perubatan dan ambulan yang tiba 10 minit kemudian mengesahkan kematiannya.- MalaysiaGazette