Dr. Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook yang mendakwanya gagal melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) ketika lawatan kerja di Sekolah Menengah (SM) Sains Dungun pada 3 Oktober lalu.

Radzi menegaskan gambar yang disebarkan oleh pemilik akaun Facebook bernama ‘Yaseri Yusoff’ adalah palsu.

Dalam gambar yang dimuatnaik itu, kelihatan Radzi bersama-sama dengan Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli dan Exco Pendidikan Terengganu, Satiful Bahari Mamat dan dua lagi lelaki memakai kemeja di kanan dan di kirinya.

“Saya dimaklumkan tentang satu hantaran FB yang tular bersama sekeping gambar yang menunjukkan seolah-olah langsung tiada penjarakan fizikal sewaktu saya mengadakan satu sidang akhbar.

“Seingat saya, selain Ahli Parlimen Dungun, YB Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli dan Exco Pendidikan Terengganu, YB Ustaz Hj Satiful Bahari Bin Mamat, tiada sesiapa berada di sebelah ketika sidang media di SM Sains Dungun pada 3 Oktober 2021.

“Setelah disemak, gambar tersebut sebenarnya adalah gambar palsu. Tindakan berniat jahat pemilik akaun tersebut adalah amat tidak bertanggungjawab. Laporan polis telah pun dibuat.

“Pohon sahabat semua dapat kongsikan penjelasan ini,” tulisnya menerusi Facebook hari ini.- MalaysiaGazette