Datin Seri Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ke-21 (PW21), Datuk Rizal Mansor dalam kes rasuah projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak didakwa hanya berjawatan pegawai media bukan pegawai khas kepada Datin Seri Rosmah Mansor.

Rosmah mendakwa Rizal telah mempergunakan jawatan itu untuk kepentingan peribadinya.

Itu dakwaan oleh isteri kepada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri najib Razak itu ketika membela diri pada prosiding rasuah ke atasnya yang masuk hari ke-2 di Mahkamah Tinggi hari ini.

Rosmah ketika membacakan kenyataan saksi berkata, Rizal banyak menggunakan namanya (name dropping) secara salah untuk meminta wang daripada individu-individu tertentu termasuklah bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsuddin.

“Melalui penyataan-penyataan saksi, saya mendapat tahu PW21 ini telah menggunakan nama saya bagi kepentingan peribadi sehingga individu seperti PW17 (Abang Samsudin) dan PW16 (Rayyan Radzwill) percaya kepada kata-katanya.

“Saya tidak pernah minta PW21 untuk berjumpa dengan saksi-saksi ini dan minta naikkan peratusan 10 peratus kepada 15 peratus. PW21 ini banyak gunakan nama saya self proclaim dirinya sebagai pegawai khas saya sedangkan saya tidak pernah ada pegawai khas.

“PW21 hanya seorang pegawai media secara kontrak di bahagian F.L.O.M (First Lady Of Malaysia) dengan jawatan rasmi Penolong Pegawai Tugas-Tugas Khas.

“Saksi PW16 sendiri syak wang-wang yang diminta menggunakan nama saya, wang itu untuk dirinya sendiri dan bukanlah untuk saya. Adalah begitu jelas bagaimana PW21 ini menggunapakai nama saya secara curang untuk kepentingan dirinya.

“Yang Arif, walaupun PW21 ini adalah penjawat awam namun kehidupan beliau sangatlah mewah yang tidak sepadan dengan gaji bulanan yang diterimanya,” kata Rosmah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

Datuk Rizal Mansor. foto AFFAN FAUZI, 15 NOVEMBER 2018.

Rosmah ketika ini sedang membela diri atas tiga pertuduhan rasuah terhadapnya berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion yang diberikan kepada syarikat Jepak Holdings melalui rundingan terus.

Rosmah berdepan pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsuddin melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor.

Wang itu didakwa sebagai upah bagi membantu Jepak Holdings mendapat projek bernilai RM1.25 bilion melalui rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, Kuala Lumpur antara bulan Mac dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima RM1.5 juta daripada Saidi bagi tujuan sama di kediaman beliau di Jalan Langgak Duta, Taman Duta pada 7 Sept 2017.

Beliau juga berdepan pertuduhan menerima RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama pada 20 Dis 2016 di Seri Perdana, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.

Rosmah telah memfailkan permohonan baharu untuk penangguhan di Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi menolak permohohannya berhubung perkara itu.- MalaysiaGazette