10 pelancong ditahan berkumpul dalam satu bilik hotel selain miliki dadah di Pantai Tengah, Langkawi semalam.

LANGKAWI – Polis menahan 10 pelancong lelaki bersama dadah jenis ketamin dan ubat batu ketika mereka sedang berkumpul dalam bilik di sebuah hotel di Pantai Tengah di sini, semalam.

Bertindak atas maklumat dan risikan sepasukan polis menahan kesemua suspek berusia lingkungan 23 hingga 31 tahun itu pada jam 1.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, ketika serbuan kesemua 10 suspek itu berada dalam bilik hotel berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan ke atas semua suspek dan bilik itu membawa kepada penemuan lapan paket plastik lutsinar berisi dadah ketamin seberat 7.2 gram serta dua botol ubat batuk.

Enam daripada suspek positif dadah.

“Hasil soal siasat mendapati semua suspek adalah pelancong dari Kuala Lumpur dan sedang bercuti di kawasan berkenaan susulan pembukaan projek rintis gelembung pelancongan,” katanya dalam kenyataan media.

Tambah Shariman, hasil ujian saringan air kencing mendapati enam daripadanya positif dadah manakala empat lagi negatif.

“Semua suspek turut dikenakan kompaun RM4,000 seorang atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana berkumpul dalam bilik hotel sama dan melakukan aktiviti tanpa penjarakan sosial.

Kesemua suspek ditahan bantu siasatan polis.

“Mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Perkara 9 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB),” ujar beliau. – MalaysiaGazette