ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad menyerahkan memorandum kepada wakil Istana Negara sekitar pukul 5.50 petang tadi.

KUALA LUMPUR – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan terhadap kerajaan Melaka Isnin lalu hadir ke Istana Negara hari ini bagi menyerahkan memorandum kepada Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Kedua-duanya ialah ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad telah menyerahkan memorandum itu kepada wakil Istana Negara sekitar pukul 5.50 petang tadi.

Bagaimanapun mereka tidak mengulas lanjut mengenainya dan kenderaan membawa Norhizam dan Noor Effandi terus keluar melalui pintu 2 Istana Negara sebaik sahaja selesai menyerahkan memorandum berkenaan.

Kenderaan yang membawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad meningalkan istana selepas menyerahkan memorandum kepada Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pintu 2, Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 07 OKTOBER 2021.

Terdahulu para petugas media menunggu sejak pukul 2 petang di Istana Hinggap Perak di Bukit Persekutuan selepas dimaklumkan kedua-dua ADUN terbabit akan menghadap Sultan Nazrin mengenai kemelut politik yang melanda Melaka buat masa ini.

Bagaimanapun memorandum itu dihantar ke Istana Negara.

Dipercayai memorandum berkenaan bertujuan memohon ihsan dan kebijaksanaan Sultan Nazrin menasihati Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam untuk menarik balik tindakan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Sultan Nazri mengambilalih tugas Agong yang kini bercuti di luar negara.

Semalam media melaporkan, seramai 15 bekas ADUN Melaka bercadang ke Istana Negara bagi mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.

Norhizam berkata, wakil rakyat terdiri daripada ADUN Bebas dan Pakatan Harapan (PH) itu sebulat surat membuat keputusan berkenaan bagi menyelesaikan krisis politik negeri.

Bagaimanapun awal hari ini, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari ketika dihubungi MalaysiaGazette memaklumkan cadangan Norhizam mengenai sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini merupakan satu cadangan peribadi.

Adly berkata, pihaknya tidak mempunyai perancangan untuk memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara berhubung krisis pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Itu mungkin rancangan beliau (Norhizam) tapi PH setakat ini tiada rancangan (menghadap Agong). Mungkin itu cadangan peribadi beliau tapi kita belum ada keputusan,” katanya.

Pada Isnin, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron bersama tiga lagi ADUN Barisan Nasional, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan bebas mengumumkan menarik sokongan terhadap Sulaiman.

Idris berkata, penarikan sokongan itu berikutan ketidakyakinan mereka terhadap beberapa keputusan kerajaan negeri yang flip-flop serta tidak dilaksanakan dengan sempurna. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Empat ADUN geng Idris, 11 dari PH mahu menghadap Agong esok