KUALA LUMPUR – Isu berhubung penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu kerugian dialami Lembaga Tabung Haji (TH) akan dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad yang menjelaskan perkara itu berkata, penubuhan RCI tersebut akan diletakkan di bawah bidang kuasa Menteri di JPM (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“RCI Tabung Haji kini diletakkan di bawah Menteri di JPM Parlimen dan Undang-Undang dan cadangan Ahli Jawatankuasa RCI berkenaan akan dibentangkan ke mesyuarat Jemaah Menteri, esok” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab celahan Ahli Parlimen Baling (BN), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata, kerajaan akan merangka Pelan Induk Bersepadu mengenai pembangunan
Tanah Rizab Melayu, tanah wakaf dan instrumen wakaf untuk menyediakan rangka kerja bagi pembangunan sosioekonomi di peringkat negeri dan tempatan.

Berikutan itu, satu jawatankuasa yang dianggotai oleh wakil kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan ditubuhkan bagi menyediakan hala tuju yang menyeluruh berkaitan perancangan, pelaksanaan dan pemantauan pembangunan tanah wakaf.

“Satu undang-undang mengenai pembangunan tanah wakaf akan diperkenalkan di peringkat persekutuan yang akan menjadi garis panduan berkaitan pembangunan tanah wakaf di seluruh negara.

“Kesemua usaha pembangunan wakaf ini dilakukan dengan mengiktiraf kedudukan Majlis Agama Islam negeri sebagai
pemegang amanah tunggal harta wakaf,” tambahnya. – MalaysiaGazette