KUALA LUMPUR – Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi membantu kelangsungan pengoperasian institusi pendidikan di negara ini termasuk institusi tahfiz swasta yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Agama Negeri.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, antaranya dengan memperkenalkan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi
membolehkan institusi berkenaan terus dapat beroperasi dalam norma baharu.
Jelas beliau, berdasarkan maklumat yang disahkan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri, hakikatnya penutupan institusi tahfiz swasta berdaftar adalah hanya bersifat sementara bagi mematuhi arahan kerajaan supaya rantaian jangkitan wabak Covid-19 dapat diputuskan.
Namun beliau tidak menafikan terdapat institusi yang berhadapan dengan kemerosotan sumber kewangan impak pandemik.
“Pada tahun 2021, kerajaan sekali lagi menyediakan peruntukan one-off RM100 juta bagi tujuan selenggara dan naik taraf Institusi Pendidikan Islam di bawah penyelarasan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) merangkumi sekolah agama, institusi tahfiz dan pondok.
“Sehingga Ogos 2021, sebanyak RM60 juta telah disalurkan kepada 1,066 buah institusi yang layak dan daripada jumlah tersebut sebanyak RM22,257,100 telah disalurkan kepada 413 buah institusi tahfiz berdaftar di negeri-negeri seluruh negara.
“Manakala RM40 juta lagi akan diagihkan kepada institusi pendidikan agama Islam,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar (PH) yang menggesa agar kerajaan menyegerakan bantuan untuk membantu pusat-pusat tahfiz yang hampir mati akibat pandemik Covid-19.
Idris menambah, pada tahun 2020, sebanyak RM100 juta turut diperuntukkan bagi tujuan yang sama dan daripada jumlah RM100,000,000.00 tersebut, sebanyak RM18,596,520 telah diperuntukkan di bawah Bantuan Khas Covid-19 secara one-off.
Menurut beliau, ia merangkumi bantuan sara hidup berjumlah RM800 seorang kepada guru-guru di institusi pendidikan Islam berdaftar termasuk guru di institusi tahfiz dan bantuan pengurusan operasi dengan peruntukan RM10 per murid warganegara bagi tujuan pengurusan institusi berkenaan impak pandemik Covid-19.
“Sejak tahun 2017 hingga tahun 2019, 904 orang menjadi penerima kepada Skim Bantuan Hafaz Al-Quran dengan nilai keseluruhan berjumlah RM2,300,250.
“Selain itu, dari tahun 2017sehingga Ogos 2021, sebanyak 51 buah institusi tahfiz telah menerima bantuan berjumlah RM1,619,000,” katanya. – MalaysiaGazette
















