Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membentangkan pendiriannya mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang mungkin diadakan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pandemik Covid-19 yang bersidang pada Rabu lalu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, perkara yang akan dibincangkan sekali lagi dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok bukan sahaja melihat daripada kesihatan tetapi juga aspek perundangan dan Perlembagaan Persekutuan.

Ujarnya, KKM akan menerima apa sahaja keputusan yang diputuskan oleh Jemaah Menteri dan dalam masa yang sama bersedia untuk menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk PRN Melaka sekiranya ia diteruskan.

“Kita akan ambil maklum apa sahaja keputusan Jemaah Menteri,” katanya pada sidang media di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.

Untuk rekod, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka terbubar baru-baru ini, setelah empat orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali. – MalaysiaGazette