LRT kembali penuh apabila sektor ekonomi kembali dibuka. Gambar hiasan

 

KUALA LUMPUR – Bilangan penganggur berkurangan kepada 748,800 orang pada Ogos 2021 dengan kadar pengangguran turun kepada 4.6 peratus,

Kedudukan tenaga buruh semakin baik pada bulan Ogos 2021 berikutan lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan untuk kembali beroperasi dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP).

Ini ditunjukkan oleh peningkatan dalam guna tenaga manakala pengangguran menurun pada bulan tersebut.

Pada bulan Ogos 2021 menyaksikan beberapa negeri telah beralih ke fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Nasional (PPN). Negeri Perlis dan Sarawak telah beralih ke Fasa 3 bermula 4 Ogos 2021 kecuali beberapa daerah di Sarawak yang masih berada dalam Fasa 2.

Sementara itu, mulai 26 Ogos 2021, Negeri Sembilan dan Labuan masing-masing telah beralih kepada Fasa 2 dan Fasa 4. Negeri Johor, Kedah, Melaka, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya masih dalam Fasa 1 manakala baki enam negeri lagi kekal dalam Fasa 2.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, bilangan penduduk bekerja meningkat sebanyak 0.5 peratus bulan ke bulan kepada 15.38 juta orang pada Ogos 2021 (Julai 2021: 15.29 juta orang) dengan nisbah guna tenaga kepada penduduk meningkat 0.2 mata peratus kepada 65.2 peratus.

Sementara itu, bilangan penganggur menurun sebanyak 3.8 peratus kepada 748,800 orang (Julai 2021: +1.2%; 778, 200 orang), merupakan penurunan pengangguran yang pertama setelah merekodkan peningkatan pada bulan Jun dan Julai 2021.

Kadar pengangguran pada bulan Ogos 2021 menurun 0.2 mata peratus kepada 4.6 peratus berbanding bulan Julai yang merekodkan 4.8 peratus.

Justeru, bilangan tenaga buruh terus meningkat bagi bulan kedua sebanyak 0.3 peratus kepada 16.13 juta orang pada Ogos 2021 (Julai 2021: 16.07 juta orang).

Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada bulan tersebut meningkat sebanyak 0.1 mata peratus kepada 68.4 peratus (Julai 2021: 68.3%).

Mengikut sektor ekonomi, sektor perkhidmatan terus mencatatkan perubahan positif bulan ke bulan terutamanya dalam aktiviti perkhidmatan makanan & minuman; perdagangan borong dan runcit; dan Kesihatan kemanusiaan & kerja sosial.

Guna tenaga dalam sektor pembuatan dan pembinaan juga merekodkan pertumbuhan positif setelah mencatatkan penurunan pada bulan sebelumnya manakala sektor pertanian dan perlombongan & pengkuarian kekal dalam trend menurun.

Dari segi taraf pekerjaan, kategori pekerja yang merangkumi 77.4 peratus, meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 11.90 juta orang setelah mencatatkan penurunan bagi tempoh dua bulan sebelumnya.

Begitu juga, penduduk bekerja sendiri terus meningkat sejak Februari 2021 dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 1.4 peratus merekodkan 2.54 juta orang.

Pada bulan tersebut, pengoperasian semula lebih banyak aktiviti ekonomi mendorong bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu terus menurun sebanyak 13.5 peratus kepada 671.2 ribu orang (Julai 2021: 776,300 orang).

”Penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 83.8 peratus daripada jumlah penganggur.

Kumpulan ini menurun sebanyak 3.7 peratus kepada 627,500 orang (Julai 2021: 651,300 orang).

Daripada jumlah penganggur yang aktif, 53.8 peratus adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun meliputi 9.0 peratus.

Trend yang sama juga dilihat pada penganggur tidak aktif yang percaya tiada pekerjaan tersedia yang mana telah berkurang sebanyak 4.4 peratus bulan ke bulan kepada 121,300 orang (Julai 2021: +0.8%; 126.9 ribu orang). – MalaysiaGazette