Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman. Foto AFFAN FAUZI, 27 JANUARI 2021.

SUBANG – Polis sedang memburu seorang pemandu e-hailing yang menunjukkan kemaluannya kepada seorang wanita semasa menghantar barang yang ditempah mangsa di hadapan sebuah pejabat, di sini, pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berhubung kejadian itu jam 6.36 petang pada hari sama.

“Menurut mangsa, dia mengambil barang yang dipesan dari pemandu e-hailing berkenaan di hadapan bangunan pejabatnya sebelum ternampak zip seluar suspek dalam keadaan terbuka sehingga menampakkan kemaluan lelaki terbabit.

“Malah, ketika wanita (pengadu) itu mahu mengambil barang daripada suspek, lelaki itu bertindak memegang pergelangan tangan kiri wanita berkenaan.

“Namun, pengadu menarik segera tangannya dari suspek sebelum segera beredar meninggalkan lokasi,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Tambah Abd Khalid, wanita itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya berhubung kejadian itu.

Menurut beliau, semasa kejadian suspek dipercayai menggunakan kereta jenis Proton Bezza yang berbeza daripada yang direkod dalam pesanan aplikasi syarikat e-hailing.

“Rentetan kejadian dan bertindak atas aduan mangsa, usaha mengesan dan memburu suspek sedang giat dijalankan polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Subang,” ujarnya.

Tambah beliau, kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-56210343 atau balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette