Syed Zaid Albar

KUALA LUMPUR – Skim penipuan pelaburan terus menjadi kebimbangan utama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Bagi tempoh sembilan bulan sehingga September 2021, SC telah menerima lebih 2,000 pertanyaan dan aduan mengenai skim pelaburan haram, yang meningkat sekali ganda daripada bilangan yang dilaporkan pada 2020.

Sehubungan itu, Pengerusi SC Datuk Syed Zaid Albar berkata, suruhanjaya itu secara berterusan mengingatkan para pelabur agar lebih peka tentang skim penipuan pelaburan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pembukaan InvestSmart® Fest 2021 yang bermula hari ini hingga 10 Oktober 2021.

Bertema #JagaDiri #JagaPelaburan, InvestSmart® Fest tahun ini akan menampilkan ceramah oleh penasihat pelaburan berlesen dan pakar industri yang berwibawa yang akan berkongsi pandangan mengenai pengurusan pelaburan dan kewangan semasa krisis, perancangan persaraan, serta peluang pelaburan Syariah dan digital.

SC memberi keutamaan kepada pendidikan dan pemerkasaan pelabur sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk meningkatkan keterangkuman kewangan dan kebolehcapaian pasaran kepada pelbagai peringkat pelabur.

Pada pelancaran acara tahunan penting pendidikan pelabur, InvestSmart® Fest 2021, Pengerusi SC Datuk Syed Zaid Albar berkata, pendidikan pelabur terus menjadi keutamaan bagi SC.

Pelan Induk Pasaran Modal 3 yang dilancarkan baru-baru ini telah mengenal pasti pemerkasaan pelabur sebagai salah satu inisiatif strategik pasaran
modal.

InvestSmart® Fest kali kelapan ini, yang akan diadakan secara maya serentak dengan Bulan Literasi Kewangan Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) 2021 dan Minggu Pelabur Dunia IOSCO 2021, usaha sejagat dalam kalangan pengawal selia pasaran modal untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendidikan dan pemerkasaan pelabur.

Diperkenalkan pada 2014, InvestSmart® Fest merupakan sebahagian daripada usaha pendidikan pelabur SC yang bertumpu kepada peningkatan celik kewangan dan pelaburan.

Melangkah ke hadapan, SC akan terus melaksanakan inisiatif untuk menyokong Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan Malaysia FEN, bagi meningkatkan celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia dan menggalakkan tingkah laku kewangan dan pelaburan yang bertanggungjawab.

Menekankan peri pentingnya usaha meningkatkan pendidikan dan perlindungan pelabur adalah berikutan bertambahnya bilangan skim penipuan dan pelaburan haram lain, terutamanya ketika berkembangnya akses kepada ekonomi digital.

Orang ramai boleh meraih manfaat daripada sesi perancangan kewangan percuma bersama perancang kewangan berlesen melalui #FinPlan4u, yang turut diadakan secara dalam talian bermula 4 hingga 10 Oktober 2021.

Malah, mereka berpeluang memenangi PIN tambah nilai eWallet melalui hadiah cabutan bertuah dan kuiz pop yang diadakan sepanjang acara 3 hari itu.

Bursa Malaysia Berhad, Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM) dan Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC) sekali lagi merupakan rakan acara bagi InvestSmart® Fest tahun ini.- MalaysiaGazette