Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – UMNO kesal tindakan seorang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) peringkat bahagian yang menghina pemain perseorangan wanita badminton negara, S. Kisona dengan unsur perkauman.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, menang atau tewas dalam pertandingan sukan, pastinya tiada kaitan dengan keturunan seseorang pemain.

Beliau menjelaskan, kegagalan Bruno Fernandes menyempurnakan sepakan penalti untuk pasukan Manchester United juga tiada kaitan dengan asal usulnya.

“Adat pertandingan ada kalah dan menang. Tewas sekali tidak bermakna kalah selama-lamanya.

“Justeru pemain badminton negara, S. Kisona jangan mengalah. Tiba masa saya percaya anda mampu bangkit.

S. Kisona

“Buktikan kepada pemimpin politik itu anda akan mencipta kejayaan di kemudian hari,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, pagi ini.

Ahad lalu, Naib Ketua PPBM Pasir Puteh, Kelantan, Borhanuddin Che Rahim memuatnaik status berunsur perkauman terhadap S. Kisona menerusi akaun Facebooknya.

Penghinaan itu berikutan kekalahan S. Kisona di tangan pemain Jepun, Akane Yamaguchi dalam aksi separuh akhir Piala Sudirman di Finland.

Berikutan itu, pemimpin PPBM tersebut mendapat kritikan dan kutukan beberapa pemimpin politik termasuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Pemimpin terbabit yang menggunakan akaun Facebook “Borhan Che Rahim” kemudian memohon maaf.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menyatakan, semangat kesukanan adalah merentasi perbezaan kaum dan ia mengenai individu, kesungguhan dan peluang.

“Saya percaya kebiadaban mana-mana individu tiada kaitan dengan asal usul negerinya. Orang Kelantan elok budi bahasanya. Tahu menghormati dan saling menghormati.

“Maka seluruh rakyat Malaysia jadikan apa yang dilakukan pemimpin politik itu sebagai sempadan,” katanya. – MalaysiaGazette