Sabri Mohamad Sharif

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengumumkan pelantikan Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) yang baharu berkuatkuasa untuk tempoh tiga tahun bermula 6 Oktober 2021 hingga 30 September 2024.

Pelantikan ini bagi menggantikan Prof Madya Dr Nurulfajar Abd Manap yang telah tamat tempoh pelantikannya.

Dr Sabri berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian pada tahun 1999 dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau memperolehi dua ijazah sarjana iaitu Ijazah Sarjana Sains (MSc.) (Lulus Cemerlang) (Polisi Pengurusan Sains & Teknologi) pada tahun 2001 dari Universiti Malaya (UM) dan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) dari Universiti Ballarat Australia pada tahun 2007.

Beliau berjaya menamatkan pengajiannya bagi peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengurusan Inovasi & Pengkomersialan Harta Intelek dari Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM) pada tahun 2015.

Beliau memulakan kerjaya di UTeM sebagai pensyarah di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawan (FPTT) pada 2005 dan kini menjawat jawatan sebagai Pensyarah Kanan.

Berteraskan kepada kepakarannya, beliau telah dipinjamkan sebagai Pegawai Penyelidik Kanan kepada Perdana Menteri bermula 1 Oktober 2013 hingga 30 April 2018.

Kewibawaannya kian menyerlah apabila turut berperanan menabur bakti kepada pembangunan negeri Melaka yang mana beliau dipinjamkan sebagai Penasihat Ekonomi dan Inovasi kepada Ketua Menteri Melaka (16 Jun 2020 – 30 September 2021) dan pada masa yang sama turut menjalankan tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Tun Perak, Melaka.

Sehingga kini Dr Sabri dilantik dan menjalankan peranan sebagai Profesor Adjung Kolej Universiti Lincoln (1 Januari 2021-sekarang) dan Felo Akademik Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) (1 April 2021 – 31 Mac 2023). – MalaysiaGazette