Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi menjayakan pelaksanaan Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelan tersebut merupakan satu dokumen komprehensif yang menggariskan objektif, strategi dan inisiatif terancang ke arah memperkasa penglibatan dan penyertaan wanita dalam pelbagai bidang sukan untuk menjadikan pembangunan sukan di negara ini lebih inklusif dan seimbang.

“Pelan yang mengandungi lima teras, lapan objektif, 19 strategi dan 45 inisiatif itu akan dianggotai seramai 15 pakar rujuk terdiri daripada wakil kementerian, badan sukan, bekas atlet dan individu berpengalaman.

“Pelan tersebut disasarkan mampu meningkatkan penglibatan keseluruhan wanita dalam aktiviti sukan, kepimpinan dalam badan sukan dan penyertaan dalam kejurulatihan dan kepegawaian sukan,” katanya pada Majlis Pelancaran Hari Sukan Negara 2021 di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya hari ini.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Ti Lian Ker; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut melancarkan Program Talent Identification and Development yang dikenali sebagai Program MyTID KPM-KBS melalui kerjasama rentas kementerian di antara KBS dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Kata beliau, dianggarkan seramai 500 orang guru tenaga penguji terlatih (Talent Eagle), 60,000 orang murid sekolah rendah (Tahun 1-6), semua Pejabat Pendidikan Daerah terlibat dalam program berkenaan.

“Program ini dijangka akan membantu memperluaskan penyertaan bakat-bakat baharu seawal usia tujuh tahun yang berpotensi di peringkat akar umbi untuk dikenal pasti dengan lebih awal dan mengurangkan risiko keciciran bakat.

“Menyedari kepentingan sukan sebagai salah satu penyumbang kepada ekonomi negara, KBS juga sedang menggubal sebuah Pelan Tindakan Industri Sukan Negara.

“Pelan yang bersifat komprehensif dan kompetitif ini bertujuan menjadikan sukan sebagai sumber baharu dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara, seiring perkembangan di peringkat global,” ujarnya.

Jelas Ismail Sabri, pelan tersebut amat wajar dibentuk setelah mengambil kira analisis berasaskan data ekonomi dunia yang menunjukkan nilai pasaran global sukan mencecah hampir AS$388.3 bilion pada tahun 2020 dan dijangka terus positif berkembang dan mencecah AS$599.0 bilion pada tahun 2025.

Katanya, berdasarkan data yang diperolehi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri seramai 32.7 juta rakyat Malaysia telah membelanjakan RM430 juta bagi tujuan sukan dan riadah pada tahun lalu.

“Secara keseluruhan, Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan, Program Talent Identification and Development dan Pelan Tindakan Industri Sukan Negara merupakan sebahagian daripada hala tuju perancangan dan pembangunan sukan yang sedang dibentuk oleh KBS melalui Visi Sukan Negara 2030,” kata beliau. – MalaysiaGazette