Wee Ka Siong penyampaikan sumbangan kepada penghantar barangan dan makanan P-hailing dalam program LPJ C.A.R.E.S

BATU PAHAT – Kementerian Pengangkutan (MOT) telah berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk mewujudkan program bagi menangani masalah penghantar makanan dan barangan (P-hailing) yang tidak mempunyai lesen memandu.

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, masalah itu perlu ditangani kerana ramai dalam kalangan mereka tidak mempunyai lesen memandu.

Menurutnya, golongan ini perlu dibantu khususnya golongan B40 kerana perlu menyara kehidupan dan untuk mendaftar dengan institut menandu, mereka perlu membuat pembayaran.

Pada waktu yang sama, MOT tidak boleh membuat satu peraturan pengecualian lesen kepada mereka kerana ia melibatkan nyawa orang lain dan semua pengguna jalan raya.

Lagipun, tanpa lesen memandu, bermakna penunggang P-hailing juga tiada perlindungan insuran dan itu sama sekali tidak dibenarkan kerana ia adalah kesalahan besar bagi semua pemandu, katanya.

“Saya telah memikirkan satu kaedah dan telah berbincang dengan Menteri Kewangan, yang mana kita melihat anak muda yang baru lepas SPM mahu mencari pekerjaan.

“Ada yang merasakan mereka perlu pergi ke institut memandu dan belajar memandu, jadi kita akan wujudkan satu program untuk membantu mereka.

“Semua ini dalam perancangan kerajaan,” katanya selepas majlis penyerahan bakul makanan kepada penghantar makanan Food Panda Kawasan Yong Peng di Dewan Gemilang, di sini, hari ini.

Beliau memberi bayangan program itu akan diumumkan semasa pembentangan Bajet 2022 pada penghujung bulan ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, penghantar makanan dan barangan yang berdepan dengan kes saman tertunggak yang banyak boleh mendapatkan diskaun istimewa dengan hadir ke Jabatan pengangkutan Jalan (JPJ).

“Saya sudah mengarahkan JPJ jika melihat kes-kes orang ini, mereka ini perlu menyara hidup atau kalau tidak mampu mereka boleh datang ke MOT,” ujarnya. – MalaysiaGazette