Thursday, April 25, 2024
Home Utama Putrajaya setuju semak semula kes Pulau Batu Puteh

Putrajaya setuju semak semula kes Pulau Batu Puteh

Pada 23 Mei, 2008, ICJ memutuskan bahawa Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh sementara Batuan Tengah adalah milik Malaysia manakala Tubir Selatan menjadi milik negara di perairan mana pulau itu terletak.

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengambil ketetapan untuk menubuhkan satu pasukan khas bagi menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Pulau Batu Puteh.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Kabinet semalam bagi meneliti pilihan-pilihan yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa

Pasukan petugas khas ini akan dipengerusikan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Perdana Menteri menambah, Kabinet turut membuat keputusan untuk mendapatkan pandangan undang-undang awal berkenaan tindakan undang-undang di bawah “Tort of Misfeasance”.

“Langkah itu dibuat ke atas mana-mana pihak yang didapati telah melakukan kecuaian dan kekhilafan ekoran tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh,” menurut beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Hague, Belanda memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Pulau Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia selain memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Pulau Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Malaysia memfailkan permohonan semakan pada 2 Februari 2017 dan pada 30 Jun tahun sama, memohon supaya mahkamah mentafsirkan penghakimannya berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang diputuskan pada 23 Mei 2008.

Permohonan semakan itu difailkan berdasarkan penemuan baharu Malaysia melalui tiga dokumen penting, menunjukkan bahawa pegawai tertinggi Singapura, tidak pernah menganggap ia memperoleh kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh daripada Johor.

Dua daripada dokumen itu yang hanya boleh diakses kepada awam selepas ICJ memberikan penghakimannya, juga menunjukkan pegawai Tentera Laut British mengakui perairan di pulau terbabit adalah milik Johor.

Namun pada 2018, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan ICJ sebelum kes itu dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.

Baru-baru ini, seorang individu memfailkan saman terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia bagi menuntut penjelasan bertulis berhubung penarikan balik semakan semula keputusan ICJ Belanda berkenaan tuntutan Pulau Batu Puteh.

Mohd Hatta Sanuri memfailkan tindakan saman itu mewakili dirinya dan mewakili lebih 32 juta rakyat Malaysia yang terkesan dengan penarikan balik semakan semula keputusan ICJ oleh kedua-dua defendan, tanpa membincangkan dan membentangkannya terlebih dahulu di Parlimen.
Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Hatta memohon perintah supaya kedua-dua defendan memberi penjelasan bertulis mengapa mereka telah menarik diri daripada semakan semula keputusan ICJ berkenaan dengan tuntutan Pulau Batu Puteh terhadap Singapura pada 1 Jun 2018 sedangkan permohonan semakan semula dengan bukti kukuh telah dimulakan dan difailkan sejak 3 Feb 2017.
Dalam pada itu,  Singapura dilaporkan akan menambak tanah di sekitar Pulau Batu Puteh  pada akhir tahun ini bagi menambah baik kemudahan di pulau berkenaan. – MalaysiaGazette