Sijil digital MySejahtera yang kini boleh diakses dalam bentuk PDF. Gambar: Twitter Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Paparan sijil digital pada aplikasi MySejahtera kini boleh diakses dalam format PDF.

Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi Twitter hari ini.

“Akhirnya, @my_sejahtera boleh export sijil digital dlm PDF, senang sikit utk urusan rentas negeri/negara nanti,” ciap beliau di laman sosialnya itu.

Khairy turut memaparkan sijil digital berkenaan berserta format PDF yang dimaksudkan.

Ia merupakan salah satu lagi penaiktarafan pada aplikasi berkenaan bagi memudahkan urusan orang ramai.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, aplikasi MySejahtera bakal dilengkapi dengan butang ‘aduan’ bagi membolehkan orang ramai melaporkan pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP).

Katanya, menerusi kaedah terbaharu itu, pengguna boleh membuat aduan pelanggaran SOP oleh mana-mana individu atau premis kepada pihak berkuasa. – MalaysiaGazette