Takiyuddin Hassan menanam pokok Cempaka Hutan, pokok teduhan berbunga tempatan sempena Program Penghijauan Malaysia yang diadakan di Putrajaya pagi ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Tenaga dan SumberAsli (KeTSA) telah mewartakan kawasan seluas 23.83 hektar di Mukim Petaling, sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) baharu di bawah Akta Perhutanan Negara1984 [Akta313].

Hutan ini dikenali sebagai Hutan Simpan Sungai Besi (Tambahan) diwartakan sebagai hutan perlindungan dan dikelaskan sebagai hutan penyelidikan, hutan lipur dan hutan pelajaran di bawah subseksyen 19(1) dan diisytiharkan sebagai hutan tertutup di bawah Seksyen 45 Akta 313.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pewartaan HS Sungai Besi (Tambahan) yang merupakan jenis hutan dipterokarpa tanah pamah menggantikan kawasan HS Bukit Sungei Puteh, Mukim Cheras, seluas 7.48 hektar yang diwarta keluar bagi pembangunan Lebuh Raya Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE).

Menurutnya, sebelum pewartaan ini, HSK di Kuala Lumpur adalah seluas 68.27 hektar iaitu 0.28% daripada keluasan tanah Kuala Lumpur meliputi HS Bukit Nanas (9.37hektar), HS Bukit Sungei Puteh (14.51 hektar), HS Sungai Besi (42.29 hektar) dan HS Bukit Lagong Tambahan (2.10 hektar).

”Keluasan HS Sungai Besi (Tambahan) yang diwartakan ini adalah lebih besar daripada HS Bukit Sungei Puteh yang diwarta keluar.

”Penggantian HSK secara serentak ini meningkatkan kawasan hutan di Kuala Lumpur kepada 0.35% daripada keluasan tanah Kuala Lumpur,” katanya.

Takiyuddin mengumumkan penwartaan HSK ini sempena Program Penghijauan Malaysia yang diadakan di Putrajaya pagi ini.

Program ini adalah satu kerjasama strategik dengan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Putrajaya di bawah Agenda Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 juta Pokok ke arah meningkatkan litupan hijau di Putrajaya.

Pewartaan ini juga mewujudkan kompleks HS Sungai Besi–HS Sungai Besi (Tambahan) seluas 66.12 hektar, mewakili 78.13% daripada keseluruhan kawasan HS di Kuala Lumpur yang berperanan sebagai green lung bagi Bandaraya Kuala Lumpur.

Proses pewartaan keluar dan penggantian HSK secara serentak yang berlaku ini selaras dengan hasrat dan cadangan pindaan Akta 313 yang sedang diusahakan oleh Kerajaan Persekutuan.

Proses ini  merupakan manifestasi komitmen untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50% daripada kawasan tanah negara sebagai kawasan berhutan dan dilitupi pokok-pokok. – MalaysiaGazette