Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad (dua kiri) membeli barangan keperluan pada Majlis Pembukaan Pasar Raya Ummah di Pulau Meranti, Cyberjaya. Foto SYAFIQ AMBAK, 10 OKTOBER 2021.

PUCHONG – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mencadangkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti keagamaan di masjid dan surau apabila kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, ia terpulang kepada Jabatan Agama Islam Negeri sama ada mahu kelonggaran itu diberikan atau sebaliknya.

“Apa yang berkaitan dengan SOP. kita mengikuti pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kemudian kita kena bincang dengan pihak berkuasa agama negeri kerana bidang agama ini pemegang taruhnya adalah daripada pihak berkuasa negeri.

“Kita di pihak Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) juga berbincang memastikan soal SOP dan sebagainya.

“Kita rasa kita boleh mencadangkan kepada pihak berkuasa agama negeri dan dalam konteks Wilayah Persekutuan ialah Yang di-Pertuan Agong (YDPA),” katanya kepada MalaysiaGazette di Pulau Meranti hari ini.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, kebenaran rentas negeri akan dibuat serentak untuk seluruh negara dan bakal diumum dalam masa terdekat.

Menurutnya, ia berikutan kebanyakan negeri dijangka mencapai kadar vaksinasi populasi dewasa 80 peratus, apabila purata vaksinasi individu berusia 18 tahun ke atas di seluruh negara mencapai 90 peratus.

Dalam pada itu, Idris juga berkata, walaupun aktiviti rentas belum dibenarkan, namun beberapa kelonggaran telah diberikan kepada umat Islam bagi aktiviti di masjid dan surau di seluruh negara.

“Alhamdulillah setakat hari ini, saya rasa ada banyak kelonggaran dari segi keluasan masjid yang boleh disertai oleh ahli Jemaah, kuliah-kuliah berjalan seperti biasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette