Datuk Hasni Mohamad

JOHOR BAHRU – Johor akan bekerjasama dan membantu kerajaan Persekutuan dalam usaha mendapatkan pelbagai dokumen dan pandangan yang diperlukan melibatkan kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh.

Semasa mengalu-alukan dan menyambut baik keputusan kerajaan Persekutuan menubuhkan pasukan petugas khas yang akan meneliti kes itu, Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata isu tuntutan Pulau Batu Putih antara Malaysia dan Singapura sememangnya amat dekat dengan kerajaan dan rakyat Johor, sama ada dari segi sejarah mahupun kedudukannya kerana hampir dengan negeri ini.

“Dalam pada itu, kerajaan negeri juga setuju dan akan memberikan sokongan penuh tentang tindakan undang-undang di bawah ‘tort of misfeasance’ ke atas mana-mana pihak yang didapati telah melakukan kecuaian dan kekhilafan kerana tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes tersebut.

“Kerajaan negeri juga mahu supaya perkara itu disegerakan agar mereka yang bertanggungjawab dibawa segera ke muka pengadilan,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Hasni berkata berdasarkan dapatan daripada hasil siasatan itu kelak, kerajaan negeri juga bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen bersesuaian dengan mendapatkan pandangan pakar undang-undang antarabangsa bagi membuat semakan semula undang-undang berkenaan kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh.

Penubuhan pasukan petugas khas itu, yang akan dipengerusikan bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, bertujuan menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pulau Batu Puteh itu.- BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN:

Putrajaya setuju semak semula kes Pulau Batu Puteh