Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi bin Md Nor, menyerahkan replika sumbangan bernilai RM1 juta kepada pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan di Langkawi hari ini.

LANGKAWI – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan terus menyokong usaha Kerajaan Kedah yang menggalakkan penabungan dalam kalangan masyarakat demi masa depan yang lebih terjamin.

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berterima kasih atas komitmen kerajaan negeri.

“Sesungguhnya rakyat negeri Kedah bertuah kerana mempunyai Kerajaan yang amat prihatin dalam menyediakan keperluan rakyat terutamanya dari aspek kewangan dan pendidikan bagi persediaan anak-anak untuk meneruskan pengajian yang lebih tinggi bagi melahirkan modal insan berpendidikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum itu, Wan Saiful menghadiri Majlis Pelancaran Program Anakku Sejahtera di Aloft Langkawi Pantai Tengah di sini yang disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan, Pembangunan Insan dan Kesejahteraan Masyarakat Negeri, Datuk Siti Ashah Ghazali, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Pengurus Besar Pejabat PTPTN Kedah, Fauzi Azli Salleh.

Dalam kenyataan yang sama, PTPTN merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Kedah kerana sokongan padu yang diberikan atas usaha PTPTN untuk mengalakkan penabungan di kalangan masyarakat melalui Program Anakku Sejahtera.

Program Anakku Sejahtera dilancarkan sebagai salah satu usaha murni kerajaan negeri dalam pembasmian kemiskinan untuk rakyat Kedah yang berpendapatan rendah dan inilah salah satu usaha memastikan rakyatnya keluar dari kemiskinan.

Menerusi inisiatif ini, Kerajaan Kedah telah memperuntukan sebanyak RM1 juta untuk diberikan kepada bayi yang lahir di negeri Kedah mulai 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2021. Sumbangan akan diberikan dalam bentuk tabungan Simpan SSPN Prime (yang dahulunya dikenali sebagai SSPN-i) dengan jumlah RM100 setiap seorang.

Bagi memastikan sumbangan ini sampai kepada golongan sasaran, Kerajaan Kedah telah menetapkan beberapa syarat untuk permohonan sumbangan ini, antaranya ialah, bayi mestilah warganegara dan dilahirkan di negeri Kedah, ibu atau bapa lahir di negeri Kedah atau bermastautin di negeri Kedah melebihi 10 tahun, pendapatan isi rumah RM3,000.00 sebulan dan ke bawah dan permohonan perlu dilakukan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh kelahiran yang didaftarkan di sijil kelahiran.

Di atas keprihatinan Kerajaan Kedah dan bersesuaian dengan situasi semasa, syarat tempoh selama tiga bulan dari tarikh kelahiran untuk permohonan ini dimansuhkan.

Ini bermakna ibu bapa yang mempunyai anak yang lahir pada 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2021 boleh memohon sumbangan dengan menepati syarat yang ditetapkan.

Borang permohonan dan maklumat lanjut berkaitan program ini boleh didapati di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang berhampiran. Simpanan sebanyak RM100 akan dimasukkan ke dalam akaun Simpan SSPN Prime selepas permohonan diluluskan.

“PTPTN juga amat mengalu-alukan kerjasama Kerajaan Negeri lain untuk membudayakan amalan penabungan. Sehingga kini, selain Kedah, antara kerajaan negeri yang telah berkerjasama dengan PTPTN untuk insentif kelahiran baharu dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime ialah Terengganu, Perak, Johor dan Melaka,” kata kenyataan yang sama.

Ini selaras dengan matlamat di dalam teras pertama Pelan Strategik PTPTN 2021 – 2025 iaitu memupuk budaya menabung di kalangan ibu bapa di peringkat awal usia anakanak bagi tujuan pendidikan tinggi sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan.- MalaysiaGazette