IGP Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani EMCO vaccination
Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menutup semua sekatan jalan raya (SJR) yang telah beroperasi selama ini di sempadan negeri mulai tengah malam ini.

Tindakan itu rentetan pengumuman kerajaan aktiviti rentas negeri bagi golongan lengkap vaksinasi dibenarkan bermula esok, kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

“Bagaimanapun, SJR di kawasan-kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), SJR Op Benteng dan SJR cegah jenayah / keselamatan akan terus dikekalkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Acryl Sani, meskipun tiada SJR di sempadan negeri, PDRM akan tetap menggerakkan pasukan-pasukan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk meneruskan pemeriksaan secara rawak bagi memastikan masyarakat sentiasa mengamalkan SOP.

Menurut beliau, pemeriksaan-pemeriksaan akan dijalankan oleh pihak berkuasa secara rawak di lokasi-lokasi tumpuan umum berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Masyarakat dinasihati supaya tidak mengambil lewa terhadap kelonggaran pergerakan rentas negeri yang telah diberikan dan sentiasa mengamalkan tahap pematuhan SOP yang tinggi demi mengelakkan penularan wabak covid-19 kembali meningkat,” tegasnya.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Rentas negeri dibenarkan mulai esok – PM