Home Nasional Wanita duduk dalam kereta depan rumah disamun

Wanita duduk dalam kereta depan rumah disamun

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan insiden nasib seorang wanita yang menunggu dalam keretanya di hadapan rumah menjadi mangsa samun di Pandaraman Jaya, Klang baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli hari ini berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis berkaitan kes samun oleh dua lelaki menaiki motosikal.

“Kejadian berlaku pada 7 Oktober lalu jam lebih pukul 7 malam semasa mangsa seorang perempuan Melayu berada di dalam kenderaan di hadapan rumahnya yang beralamat di Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang.

“Tiba-tiba mangsa telah didatangi oleh seorang lelaki memakai baju t-shirt berwarna putih sebelum terus membuka pintu kereta kereta dan mengambil beg galas mangsa yang mengandungi dompet, tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama dan wang tunai bernilai RM300,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Shamsul Amar, suspek kemudiannya melarikan diri menaiki sebuah motosikal yang ditunggang oleh rakannya.

Menurut beliau, jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM2, 000.

“Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh disalurkan terus kepada ASP Zamrus bin Zakaria (019-6892777) atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana- mana balai polis berhampiran..-MalaysiaGazette