Keadaan trafik bergerak lancar selepas kerajaan membenarkan rentas negeri bermula 11 Oktober ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Plaza Tol Duta, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 10 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang kesesakan luar biasa dilihat berlaku di Plaza Tol Duta di sini selepas pengumuman kebenaran  merentas negeri berkuatkuasa 12.01 tengah malam tadi.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati keadaan trafik Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Plaza Tol Duta di sini berjalan lancar susulan tiada lagi Sekatan Jalan Raya (SJR)  sejak peralihan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), pada 10 September lalu.

Bagaimanapun hanya khemah pasukan polis masih kelihatan di Plaza Tol Duta arah Selatan yang belum dialihkan meskipun tiada lagi pasukan keselamatan ditugaskan.

Memandangkan kebenaran itu dibuat pada hujung minggu, tinjauan mendapati tiada pergerakan besar-besaran keluar dari ibu negara susulan ramai masih bekerja hari ini.

Keadaan trafik bergerak lancar selepas kerajaan membenarkan rentas negeri bermula 11 Oktober ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Plaza Tol Duta, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 10 OKTOBER 2021.

Terdahulu. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang medianya jam 3 petang semalam mengumumkan, kerajaan bersetuju memberi kebenaran kepada Keluarga Malaysia melakukan rentas negeri bermula 11 Oktober ini.

Pergerakan itu diberikan terhad kepada mereka yang sudah menerima vaksinasi lengkap dua dos.

Menurut Perdana Menteri, aktiviti rentas negeri itu boleh dilakukan tanpa memerlukan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ia susulan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus semalam. – MalaysiaGazette