Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor)

KUALA LUMPUR – Penduduk di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dinasihatkan agar tidak panik berikutan ketiadaan air bagi tempoh beberapa hari mendatang.

Ini kerana, masalah yang bakal berlaku merupakan gangguan air berjadual, yang telah dirancang rapi oleh Air Selangor, kata Ahli Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN), Shahir Adnan.

Beliau berkata, sebagai operator, Air Selangor memaklumkan mengenai pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal yang akan menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1)

“Pelaksanaan kerja-kerja ini bakal menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di 998 kawasan di Wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor bermula pukul 9 pagi hari esok dan dijangka pulih sepenuhnya pada pukul 9 malam, 16 Oktober.

“Pelaksanaan kerja-kerja ini telah tertangguh daripada jadual asal iaitu pada tahun 2019 dan 2020 berikutan insiden pencemaran air yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual berskala besar.

“Pelaksanaan kerja-kerja ini telah mendapat kelulusan SPAN bagi menaiktaraf sistem bekalan air demi keselesaan para pengguna pada masa hadapan.

“Selaku Ahli Suruhanjaya, saya menyokong penuh usaha Air Selangor demi merealisasikan visi kita untuk menyediakan bekalan air bersih kepada rakyat secara mapan, berdaya harap dan mampu untuk semua,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru Shahir berkata, pihaknya menasihatkan para pelanggan yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan sumber itu secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual itu berlaku.

Jelasnya, pada ketika inilah semua orang perlu berhemah dalam menggunakan air untuk kegunaan harian dan menghentikan sebarang bentuk pembaziran.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai untuk mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual itu dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi menerusi aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau dengan menghubungi Air Selangor di talian 15300.

“Untuk sebarang maklumat mengenai perkhidmatan air di negara kita, bolehlah mengemukakan cadangan atau aduan kepada [email protected].

“Maklumat semasa juga boleh didapati menerusi semua saluran komunikasi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Forum Air (Wira Air) termasuk Twitter, Facebook, Instagram,” tambahnya. – MalaysiaGazette