Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee menyempurnakan gimik perasmian pada Perasmian Hari Inovasi MARDI 2021 di Ibu Pejabat MARDI, Serdang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 12 OKTOBER 2021.

SERDANG – Institut Penyelidikan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melancarkan empat produk inovasi bioteknologi menerusi hasil penyelidikan yang menfokuskan kecantikan dan kesihatan berasaskan hasil tumbuhan tempatan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, walaupun berdepan cabaran masa kini, institut itu tetap komited menerapkan pendekatan baharu dalam penyelidikan pertanian dan industri makanan.

Antara empat produk inovasi yang diperkenalkan hari ini adalah minuman berasaskan terung asam kaya dengan asid hidroksisinamik yang mampu dibangunkan untuk pengurusan berat badan atau anti-obesiti.

Menurut Pegawai Penyelidik Prisipal Mardi, Dr Zuraida Ab Rahman, 47, formulasi baharu yang dihasilkannya itu terbukti mampu meningkatkan rasa kenyang, mengurangkan pengambilan makanan dan meningkatkan metaboliseme badan pengguna.

“Apabila kita ambil produk ini akan mengurangkan lapar dan menerusi proses yang kita buat kajian satu gen, ia mampu memecahkan lemak dan mempunya fiber yang tinggi serta dapat membaikpulih usus kita yang rosak.

“Terung asam ini berasal dari Sarawak dan ia sering digunakan dalam masakan namun apabila dieksterk melalui satu proses, ia mempunyai nilai yang tinggi untuk pengurusan berat badan hanya menggunakan produk yang segar,” katanya.

Pengawai Penyelidik Prinsipal MARDI, Dr Zuraida Ab Rahman bergambar sambil menunjukkan produk minuman berasaskan terung asam selepas Perasmian Hari Inovasi MARDI 2021 di Ibu Pejabat MARDI, Serdang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 12 OKTOBER 2021.

MARDI turut mengetengahkan produk krim antiradang yang diformulasi daripada gabungan ekstrak sayuran maman dan minyak kelapa dara untuk mengurangkan kesan keradangan.

Selain itu, pasukan penyelidikan MARDI turut menghasilkan dua produk inovasi berasaskan kelapa iaitu ais krim kelapa kurang kalori dan air kelapa muda berkarbonat yang mampu bertahan lebih lama.

Sementara itu, Pegawai Penyelidik Mardi, Nur Farah Hani Muhammad, 37, berkata, air kelapa muda berkarbonat mampu berdaya tahan berbanding air kelapa muda biasa namun masih mengekalkan keaslian rasa.

“Air kelapa muda biasa selalunya cepat rosak, untuk memanjang tempoh hayat air itu pelbagai jenis proses dilakukan. Jika kita tengok dalam kotak atau tin di pasaran ia menggunakan kaedah retort atau suhu yang tinggi.

Tetapi produk yang kita bangunkan menggunakan rawatan haba yang rendah seperti pempasteuran dan juga tanpa haba sekali gus dapat mengekalkan rasa kelapa muda itu, anti oksida serta mineral dalam air tersebut.” ujarnya.

Pengawai Penyelidik MARDI, Nurfarah Hani Muhammad bergambar sambil menunjukkan botol kelapa muda berkabornat selepas Perasmian Hari Inovasi MARDI 2021 di Ibu Pejabat MARDI, Serdang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 12 OKTOBER 2021.

Dalam pada itu, pasukan penyelidik MARDI itu memaklumkan keempat-empat produk inovasi tersebut telah mendapat perhatian daripada syarikat-syarikat tempatan untuk dikomersialkan di pasaran.

Dr Mohamad Zabawi menambah, dengan kerjasama pelbagai agensi serta para penyelidik, ia mampu memastikan inovasi yang dihasilkan berimpak dan bermanfaat kepada golongan sasar.

“Kita akan pasarkan produk inovasi ini dan akan berbincang dengan syarikat-syarikat yang berminat untuk mengambil teknologi yang telah dibangunkan ini.

“Kemudian dari situ syarikat-syarikat akan meneruskan penghasilan pembuatan produk-produk tersebut dan dipasarkan oleh syarikat sendiri,” katanya pada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Hari Inovasi Mardi 2021 di Serdang hari ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee bersama Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid. – MalaysiGazette.

1 Komen

Comments are closed.