Gambar hiasan

SHAH ALAM – Mayat seorang lelaki ditemukan terapung oleh orang awam di perairan Selat Che Mat Zin, Klang, petang semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, ia dipercayai mayat Hasmudin anak Omar, 24, lelaki itu yang dilaporkan terjatuh ke laut semasa dalam perjalanan balik ke Pulau Carey, Klang, dekat sini Ahad lepas.

Katanya, sejurus selepas pihak berkuasa menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu pada pukul 2.40 petang, Pasukan Polis Marin (PPM) terus bergegas ke lokasi untuk menyiasat.

“Mayat kemudiannya dibawa ke Jeti PPM bagi proses pengecaman oleh ahli keluarga dan diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, dekat sini bagi tindakan lanjut.

“Berdasarkan pengecaman awal oleh ahli keluarga, ia dipercayai mayat Hasmudin, lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke laut kira-kira 0.1 batu nautika selatan Selat Mahang, Pulau Che Mat Zin pada 10 Okt lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rosli berkata, operasi mencari dan menyelamat yang diselaras Maritim Malaysia menggunakan lima bot dan satu pesawat udara dari pelbagai agensi termasuk PPM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan dibantu komuniti nelayan tempatan; ditamatkan pada pukul 5.15 petang semalam.

“Maritim Malaysia meminta orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah mahupun kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-321760627 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam jika berlaku sebarang kecemasan di perairan Selangor. – Bernama