B. Darga Devi didakwa di Mahkamah Sesyen, atas kesalahan mendera dua orang kanak-kanak antara Jun hingga September lalu.

JOHOR BAHRU – Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, kerana mendera dua orang kanak-kanak antara Jun hingga September lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, R.Kartik, 32 dan B. Darga Devi, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan hakim, Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Bagi pertuduhan pertama, pasangan itu didakwa melakukan penderaan terhadap kanak-kanak berumur 11 tahun dengan memukul menggunakan rotan, penyangkut baju dan batang mop serta pisau panas untuk mendera dan mencucuh rokok di seluruh badan.

Manakala pertuduhan kedua pula, mereka didakwa melakukan penderaan sama keatas kanak-kanak berusia tujuh tahun.

Perbuatan yang didakwa dilakukan bersama-sama dua orang yang sudah dituduh mengakibatkan dua kanak-kanak yang juga adik-beradik itu trauma dan mengalami kecederaan pada tubuh badan mereka.

Perbuatan itu dilakukan di Flat Selesa Jaya, Bandar Selesa Jaya, Iskandar Puteri antara jam 8 malam hingga 1 pagi pada Jun hingga September lalu.

Suami isteri itu didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabit kesalahan, pasangan suami isteri itu berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Chan Choon Yew tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh kerana menyifatkan perbuatan mereka ganas dan kejam.

Peguam Munirah Najihah Shaari yang mewakili pasangan suami isteri itu bagaimanapun memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan dalam jumlah yang rendah.

Mahkamah kemudian membenarkan pasangan suami isteri itu masing-masing diikat jamin sebanyak RM30,000 dan RM15,000 bagi semua pertuduhan dengan empat orang penjamin.

Hakim turut meletakkan syarat tambahan supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, lapor diri di balai polis berhampiran dua minggu sekali dan tertuduh dilarang untuk mendekati dan mengganggu mangsa serta saksi-saksi.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 24 November ini. – Malaysiagazette