KUALA LUMPUR – Sesi penghujahan cabaran keabsahan
yang dilakukan Sisters In Islam (SIS) Forum Malaysia yang memohon perisytiharan Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor sebagai tidak sah selesai pada pukul 1 tengah hari, tadi.

Perkara itu dimaklumkan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang juga salah seorang peguam, menerusi akaun Facebooknya.

Katanya, tarikh keputusan cabaran SIS akan ditetapkan kemudian.

“Alhamdulillah selesai penghujahan kes cabaran terhadap Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor bermula jam 9.30 pagi selesai hampir jam 1 petang. Tarikh keputusan akan ditetapkan kemudian,” katanya.

Terdahulu, perbicaraan selama lebih kurang tiga jam itu berlangsung di Mahkamah Persekutuan menerusi dalam talian.

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang dibenarkan mencelah oleh Mahkamah Persekutuan diwakili tiga individu daripada firma milik Zainul Rijal.

Kerajaan Negeri Selangor pula akan diwakili Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor.

Pada 21 Januari 2020, SIS memfailkan notis usul antara lainnya memohon deklarasi Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 sebagai tidak sah.

Seksyen 66A menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah, boleh, demi kepentingan keadilan, atas permohonan mana-mana orang, menggunakan bidang kuasanya untuk mendengar dan membenarkan permohonan bagi semakan kehakiman terhadap keputusan yang dibuat oleh majlis atau jawatankuasa dalam menjalankan tugas di bawah enakmen ini. – MalaysiaGazette