Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berucap pada Perasmian Hari Inovasi MARDI 2021 di Ibu Pejabat MARDI, Serdang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 12 OKTOBER 2021.

SERDANG – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) disaran menubuhkan pasukan pakar khas bagi memperkasakan agenda penyelidikan sekuriti makanan negara.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pihaknya komited untuk terus memperkukuhkan sekuriti makanan negara supaya bekalan makanan kekal terjamin dalam apa jua keadaan.

Katanya, penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh dua tahun telah memberi kesan kepada sektor agro makananapabila kelancaran rantaian makanan terganggu.

“Kita harus menumpukan kajian dan pembangunan ini secara lebih ke hadapan untuk menentukan aspek sekuriti makanan negara itu menemui penemuan dan juga penyelidikan diperkasakan.

“Justeru, saya mencadangkan agar Mardi melihat dengan menubuhkan pakar untuk terus menumpukan aspek sekuriti makanan negara dalam penyelidikan mereka walaupun secara perse (berterusan), ” katanya pada pemberita selepas melancarkan Majlis Pelancaran Hari Inovasi Mardi 2021 di Serdang hari ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (tengah) bergambar bersama penjana teknologi pada Perasmian Hari Inovasi MARDI 2021 di Ibu Pejabat MARDI, Serdang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 12 OKTOBER 2021./

Tambah Ronald, inovasi memainkan peranan penting dalam menentukan pengubah permainan bagi menghadapi cabaran mendatang..

Ia bukan sahaja menyelesaikan masalah semasa, malah berpotensi untuk membuka ruang dan peluang baharu yang dapat dimanfaatkan oleh industri agro makanan, ujarnya.

Dalam pada itu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan telah merangkumkan tujuh cabaran utama sekuriti makanan negara yang perlu diberikan keutamaan pada masa ini.

Antaranya, peningkatan penduduk dan permintaan makanan, peningkatan kos sara hidup dan harga makanan, kekurangan khasiat makanan dan malnutrisi berganda, tahap produktiviti yang rendah serta intensif buruh dan populasi petani berusia.

Pelaburan swasta dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang masih rendah, tahap adaptasi teknologi dan mekanisasi yang rendah dan perubahan iklim serta kemampanan sumber semula jadi. – MalaysiaGazette