Tangkap layar menunjukkan mangsa bergesel dengan sebuah lori sebelum terbabas di kiri jalan di Lebuh Raya BKE, semalam.

BUKIT MERTAJAM – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya bergesel dengan sebuah lori sebelum dia terbabas di kiri jalan dalam kejadian di Kilometer 13.9 Lebuh Raya Butterworth/ Kulim Ekspress (BKE) di sini, semalam.

Kejadian jam 11.50 pagi mengakibatkan mangsa berusia 19 tahun itu meninggal dunia selepas cedera parah seluruh anggota badan, selain tangan hampir putus.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihaknya menerima aduan di kaunter trafik berhubung kejadian pada jam 12.20 tengah hari.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati mangsa menunggang motosikal dari arah Kulim, Kedah menghala Seberang Jaya sebelum bergesel dengan sebuah lori yang datang dari arah sama.

“Impak pergeselan itu menyebabkan mangsa terbabas ke kiri jalan selain mengalami kecederaan parah pada bahagian tangan serta kaki.

“Bagaimanapun, mangsa dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Helmi, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat dan melihat kejadian diminta tampil membantu siasatan atau menyalurkannya di mana-mana balai berhampiran,” katanya.

Semalam tular rakaman kamera papan pemuka berdurasi 30 saat menunjukan mangsa sedang melalui lorong kecemasan sebelum sebuah lori tiba-tiba yang berada di laluan kiri memasuki lorong kecemasan sama.

Impak pelanggaran itu menyebabkan mangsa terbabas selain tangan kiri mangsa hampir putus dari bahagian bahu dipercayai akibat terkena besi penghadang jalan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Pemandu lori patut dipersalahkan dan tindakan tegas perlu.
    Sekarang banyak pemandu kenderaan berat kurang memberi perhatian (fokus)semasa memandu,tambah dengan pengguna gajet sekarang .Penggunaan media sosial dalam membuat ‘content’ semasa memandu menjadi penyebab berlaku kemalangan seperti Tik tok Live atau facebook Live. Harap pihak berkuasa kerap membuat pemantauan kerana ia penyebab kemalangan.

Comments are closed.