Pengerusi Eksekutif Pertubuhan Skuad Pengurusan Jenayah Malaysia(SPJM) Muhammad Rafiuedin Zainal Rashid bercakap kepada media ketika Skop MG di Tanah Perkuburan Islam Ibukota, Kuala Lumpur. Foto FARHAN MAHAMAD, 11 OKTOBER 2021

KUALA LUMPUR – Kes rasuah dalam kalangan penjawat awam bukan perkara baharu dan ia sudah lama bersarang dalam diri beberapa penjawat awam.

Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Rafieudin Zainal Rashid mengakui pernah diminta duit daripada ‘orang dalam’ ketika mahu menguruskan jenazah.

Menurutnya, sejak 17 tahun mengendalikan urusan jenazah, perkara meminta itu tidak pernah berhenti.

“Ada antara orang dalam ini meminta duit tepi sebagai balasan memberikan urusan itu kepada pertubuhan saya.

“Mula-mula dulu memang terkejut dan saya akan nasihat mereka agar tidak meneruskan perkara itu kerana tidak hanya salah di sisi agama, malah boleh diambil tindakan kerana meminta rasuah,” katanya ketika menjadi panel program SKOP MG dengan tajuk Rasuah Hingga Ke Liang Lahad.

Beliau berkata, disebabkan ketegasannya, tidak ada orang dalam yang berani melakukan perkara demikian terhadapnya lagi.

“Walaupun saya tak lagi diminta-minta, tetapi sahabat-sahabat saya daripada pertubuhan lain juga mengalami perkara sama, minta duit tepi atau mereka menyebut ‘gula-gula.’

“Ada kala sukar untuk mendapatkan bukti kerana mereka minta secara tunai. Ada yang takut, jadi mereka pun ikut seperti apa yang diminta.

“Duit yang diminta itu pula adalah daripada kos pengurusan jenazah yang ditetapkan, sebagai contoh, kos yang ditetapkan adalah sebanyak RM600.

“Barang-barang nak mandi tu kos tak tinggi, sabun, kapas dan beberapa yang lain hanyalah RM200. Apabila diminta gula-gula tadi adalah RM200. Inilah duit tepi yang dimaksudkan,” katanya lagi.

Ditanya siapakah orang dalam yang dimaksudkan, Rafieudin berkata, orang dalam itu adalah kakitangan awam.

“Mereka tu, ada yang kakitangan forensik dan ada juga pihak polis.

“Mereka menggunakan kuasa yang ada pada mereka, sebagai contoh untuk mengeluarkan jenazah perlu mendapat tanda tangan polis atau pihak forensik memilih  siapa yang boleh membayar mereka dan polis akan gunakan kuasa mereka,” katanya.

Jelasnya lagi, perkara itu dapat dilihat kepada segelintir penjawat awam yang tidak berpangkat tinggi tetapi memiliki kenderaan mewah dan berbelanja sakan.

“Macam mana mereka buat kerja, bayangkan satu jezanah di hospital mereka dapat RM200, kalau satu hari ada 10 jenazah, mereka dapat RM2,000.

“Mereka boleh memanggil siapa sahaja untuk menguruskan jenazah yang boleh melayani kehendak mereka,” jelasnya.

Rafieudin mengakui pernah melaporkan kepada Unit Integriti Bjukit Aman terhadap salah laku seorang berpangkat sarjan dalam urusan jenazah ini.

“Saya tidak mahu berkompromi terhadap perkara-perkara ini dan telah menjalankan tanggungjawab saya.

“Saya tidak mahu ia terus menjadi barah dan bersarang dalam diri sesiapa pun mengenai rasuah ini,” katanya.

Dalam pada itu, Rafieudin turut mengakui tauliah pengurusan jenazah Covid-19 yang diberikan majlis agama kepada SPJM sejak 17 Ogos telah ditarik semula pada 24 Ogos lalu.

“Saya tak tahu di mana silapnya SPJM hingga tauliah ditarik, sedangkan kami telah uruskan sejak setahun yang lalu.

“Mengapa di hujung-hujung ini majlis agama nak jadi hero, pada hal, SPJM sudah mengendalikan kes ini sudah lama,” katanya. – MalaysiaGazette