Gambar hiasan

BERSESUAIAN dengan hasrat untuk menjadi rakan strategik bagi membina Malaysia menjadi Negara Rahmah iaitu yang aman, makmur, sejahtera di mana kebebasan, kebenaran dan keadilan ditegakkan dengan erti kata sebenarnya, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) telah melancarkan Pemasyhuran Indeks Negara Rahmah pada Selasa lalu.

“Usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara Rahmah ini tentunya tidak boleh
diusahakan sendiri oleh IKRAM,” kata Timbalan Presidennya, Hj Badlishah Sham Baharin
ketika sidang media yang diadakan di sini.

Malah tambahnya, ia adalah usaha bersama kesemua mereka yang berkongsi wawasan ini
termasuk pihak kerajaan Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan
masyarakat madani (CSO), golongan profesional, pihak industri dan rakyat keseluruhannya.

Beliau berkata, IKRAM menyedari bahawa proses transformasi negara dari keadaan
sekarang sehingga menjadi sebuah Negara Rahmah adalah proses yang panjang dan tidak mudah.

“Oleh itu, apa yang penting ialah usaha yang akan menghasilkan kemajuan ke arah yang
lebih baik ini terus dilakukan setiap tahun dan boleh diukur kemajuannya.”
Menurut Hj Badli, pembangunan Indeks Negara Rahmah (INR) yang diperkenalkan IKRAM
adalah satu usaha untuk mengukur kemajuan ini serta menilai keberkesanan usaha dan
inisiatif yang telah dilaksanakan sepanjang tahun oleh semua pihak ke arah mencapai
Malaysia Negara Rahmah.

Inventori Indeks Negara Rahmah

“Untuk menilai pencapaian kesemua 12 ciri tersebut, ataupun dalam erti kata lain, mengukur kemajuan pencapaiannya, satu kayu ukur yang dikenali sebagai Inventori Indeks Negara Rahmah telah dibangunkan oleh IKRAM,” jelasnya.

Proses pembangunan indeks ini juga telah melibatkan wakil-wakil pertubuhan sivil,
masyarakat madani, wakil dari pelbagai agama dan etnik serta akademia dalam pebagai
bidang.

“Inventori Indeks Negara Rahmah ini dibuat dalam Bahasa Melayu yang mengandungi 12
Ciri Negara Rahmah, 30 indikator pencapaian dan 110 soalan bersama 10 soalan mengenai profil responden.”

Dalam pada itu, Ketua Kajian Dasar IKRAM (KADRI), Dr Mustafa Din Subari berkata, Indeks Negara Rahmah ini adalah satu sumbangan yang baharu dalam proses perbendaharaan ilmu.

“Ia memudahkan sesiapa saja untuk membuat rujukan mengenainya terutamanya para
pengkaji dan mahasiswa.”

Pencapaian 2021 Sederhana

Walaupun skor indeks ini bukan satu petunjuk yang mutlak, ia memberikan satu nilai
persepsi relatif masyarakat umum terhadap keadaan semasa negara, khususnya apabila persepsi masyarakat terhadap hal-hal berkaitan tadbir urus negara seperti kepimpinan, tadbir urus dan pengurusan berada dalam kelompok terendah, ia menggambarkan satu kerisauan yang harus diberikan perhatian oleh pihak berwajib.

“Pengukuran indeks ini boleh menjadi kayu ukur kejayaan kita ke arah Malaysia Negara
Rahmah dan ia suatu inisiatif penting untuk dilaksanakan,” kata Ahli Penyelidik Kajian
Indeks, Hj Rozalli Hashim.

Beliau bersama pasukannya bersedia melaksanakan kajian ini pada setiap tahun dengan
konsisten untuk mendapatkan dan melihat pencapaian yang lebih baik. Kajian Indeks Malaysia Negara Rahmah 2021 telah dijalankan meliputi seluruh negara dari bulan April hingga Jun 2021 yang melibatkan 3,277 responden yang terdiri daripada rakyat
Malaysia berusia 18 tahun ke atas dan dari pelbagai kumpulan etnik.

Kajian ini telah dijalankan menggunakan persampelan berstrata dengan tumpuan negeri,
daerah, kaum dan jantina. Dengan menggunakan skala 10 sebagai pencapaian terbaik, hasil kajian ini mendapati pencapaian kebangsaan bagi Indeks Malaysia Negara Rahmah tahun 2021 adalah pada paras 6.09 atau pencapaian dalam kategori ‘Sederhana’ (0 – 4: Rendah; 5 – 7 : Sederhana dan 8 – 10 : Tinggi).

Ciri-ciri yang mendapat skor tertinggi adalah Institusi Keluarga yang Utuh (7.38), Hubungan Etnik dan Penganut Agama yang Harmoni (6.93), Masyarakat yang Berilmu, Berakhlak Penyayang (6.88), dan Kebajikan, Kesihatan dan Keselamatan Rakyat yang Terpelihara (6.50).

Manakala kesemua ciri berkaitan kepimpinan, pentadbiran dan tadbir urus kerajaan
mendapat skor yang rendah iaitu antara 5.33 hingga 5.60.

Ciri-ciri Negara Rahmah
12 ciri yang diketengahkan dalam Indeks Negara Rahmah ialah:
1. Kepimpinan negara yang kompeten dan berintegriti
2. Sistem Pemerintahan yang berasaskan semak dan imbang yang berkesan
3. Tadbir urus yang baik
4. Undang-undang yang adil
5. Masyarakat yang berilmu, berakhlak dan penyayang
6. Institusi keluarga yang utuh
7. Hubungan etnik dan penganut agama yang harmoni
8. Ekonomi yang mampan
9. Agihan kekayaan yang saksama
10. Pembangunan yang lestari
11. Kebajikan, kesihatan dan keselamatan rakyat terpelihara
12. Menerajui usaha keamanan dan kesejahteraan sejagat

Dapatan kajian dikongsi bersama

Majlis Pemasyhuran Indeks Negara Rahmah secara dalam talian itu juga diserikan Webinar ‘Malaysia Menuju Negara Rahmah’ yang dikendalikan oleh moderator Profesor Dr Amir Husin dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Ahli-ahli panel webinar ialah Ketua Pasukan Petugas Kepimpinan Berwibawa Profesor Dr
Hanim Salleh, Ketua Pasukan Petugas Perpaduan Nasional, Hj Zaid Kamaruddin, Ketua
Pasukan Petugas Masyarakat Progresif, Profesor Madya Hj Ainullotfi Abdul Latif, Ketua
Pasukan Petugas Kemakmuran Ekonomi, Ustaz Hj Burhanuddin Lukman dan Ketua
Pasukan Petugas Institusi Kenegaraan, Hj Shahrul Aman Mohd Saari.

Sehubungan itu, terdapat tiga poin penting melalui Webinar Malaysia Menuju Negara
Rahmah yang diadakan iaitu model Negara Rahmah adalah tawaran IKRAM kepada rakyat
Malaysia keseluruhannya bagi pembinaan negara yang memberi keamanan dan
kesejahteraan kepada rakyat keseluruhannya serta yang lebih penting, ia juga memberikan keselamatan dan kebahagiaan di akhirat.

Skor keseluruhan Indeks Malaysia Negara Rahmah 2021 mencatatkan 6.09 perlu
dipertingkatkan lagi berdasarkan perancangan usaha-usaha dan pelan tindakan yang harus dilaksanakan oleh segenap lapisan masyarakat.

Seterusnya, dapatan kajian ini juga harus dikongsi bersama dengan agensi kerajaan dan
juga pihak-pihak berkepentingan bagi menjadikan agenda Negara Rahmah melebar dan
didukung oleh setiap lapisan masyarakat.

Moga dengan dapatan kajian indeks ini, ia memberi ruang kepada pihak kerajaan mahupun pengkaji juga mahasiswa dan seluruh masyarakat merealisasikan wawasan murni yang menjadi impian semua rakyat Malaysia ini. Tidak kira apa bangsa keturunan mahupun anutan rakyat Malaysia, mereka mahukan negara yang tercinta ini menjadi sebuah negara yang lebih baik, sebuah negara mithali kepada masyarakat antarabangsa, insya-Allah.

Atriza Umar
Pegawai Penyiaran dan Komunikasi
Pertubuhan IKRAM Malaysia