Jack Ma. foto CNBC

HONG KONG – Pengasas Kumpulan Alibaba Jack Ma, yang lama tidak tampil dalam khalayak ramai sejak tindakan tegas dikenakan terhadap perniagaannya pada akhir tahun lalu, beliau kini berada di Hong Kong untuk bertemu dengan rakan sekutu.

Tindakan itu dikenakan Kerajaan China selepas Ma mengkritik pengawal selia kewangan Beijing dalam ucapannya di Shanghai Oktober tahun lalu.

Peristiwa itu menyebabkan tawaran awam permulaan bagi syarikat mega Ant’s terpaksa ‘ditidurkan’.

Disebabkan sukar melihat penampilan Ma di China selepas peristiwa itu, nasib jutawan ini menjadi spekulasi.

Sumber memberitahu Reuters, lawatan Ma ke Hong Kong adalah perjalanan pertamanya ke hab kewangan Asia sejak Oktober lalu.

Setakat ini Alibaba belum memberi sebarang kenyataan.

Ma, merupakan usahawan China yang paling terkenal dan lantang bersuara, bertemu dengan sekurang-kurangnya “beberapa” rakan perniagaan semasa makan tengah hari minggu lalu, kata sumber tersebut.

Perniagaan Ma yang berpusat di Hangzhou, China memiliki sekurang-kurangnya satu rumah mewah di tanah bekas jajahan Britain ini, yang juga merupakan tempat operasi perniagaan luar pesisir beberapa syarikatnya.

Alibaba juga disenaraikan di Hong Kong, selain New York.

Bekas guru Bahasa Inggeris itu hilang dari pandangan umum selama tiga bulan sebelum muncul semula pada bulan Januari lalu, bercakap dengan sekumpulan guru melalui rakaman video.

Penampilan Ma itu meredakan kebimbangan orang ramai selepas kelibatnya tidak kelihatan, mendorong saham Alibaba lebih tinggi.

Pada bulan Mei lalu, Ma melakukan lawatan ke kampus Alibaba di Hangzhou sempena acara Hari Keluarga syarikat itu.

Pada 1 September, gambar-gambar Ma yang mengunjungi beberapa rumah hijau pertanian di wilayah Zhejiang, milik Alibaba dan sekutu teknologi kewangannya, Ant, menjadi viral di media sosial China.

Keesokan harinya, Alibaba mengumumkan syarikat itu akan melabur 100 juta yuan (AS$ 15.5 bilion) menjelang 2025 untuk menyokong “kemakmuran bersama”, sekali gus menjadi syarikat gergasi terbaharu yang menyatakan komitmen menyokong inisiatif kekayaan yang dipimpin oleh Presiden Xi Jinping. – Reuters

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast