KUALA LUMPUR – Kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) yang menyebabkan 998 kawasan di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air telah dimulakan sejak 9 pagi tadi.

Pengurusan Air Selangor berkata, kerja-kerja penyenggaraan aset utama ini dijangka siap pada jam 11 malam, 13 Oktober 2021.

Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada para pengguna bermula jam 5 petang, 14 Oktober 2021, setelah sistem bekalan air telah distabilkan.

Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 9 malam pada 16 Oktober ini.

Menurutnya, sepanjang tempoh gangguan Air Selangor akan menyediakan bantuan air alternatif melalui lori-lori tangki ke premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta untuk upacara pengebumian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast