Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar mengadakan lawatan rasmi ke Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) di Wisma Ungku A. Aziz, Petaling Jaya, Selangor. Foto FARHAN MAHAMAD, 14 OKTOBER 2021.

PETALING JAYA – Sebanyak 60 peratus koperasi di negara ini telah terjejas sepanjang pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak tahun lalu, kata Tan Sri Noh Omar.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) itu berkata,  sebanyak 30 peratus koperasi daripada jumlah keseluruhan 14,629 koperasi pula termasuk dalam kategori terjejas teruk.

Beliau memberitahu, sebagai usaha merancak kembali aktiviti koperasi, dua program bantuan diperkenalkan bagi membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama kementeriannya.

“Program pertama adalah Program Jualan Koperasi Prihatin Rakyat (JKPR) yang memperuntukkan sebanyak RM3 juta di mana orang ramai yang membeli-belah di kedai koperasi akan mendapat diskaun 15 peratus.

“Inisiatif ini sebagai galakan orang ramai datang kedai-kedai koperasi yang menawarkan harga barangan lebih murah daripada kedai biasa. Ketika ini terdapat 1,500 kedai koperasi di seluruh negara.

“Kedai koperasi ini tidak rugi apa-apa kerana mereka mendapat subsidi yang dibayar oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia,” katanya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar bercakap kepada media ketika lawatan rasmi ke Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) di Wisma Ungku A. Aziz, Petaling Jaya, Selangor. Foto FARHAN MAHAMAD, 14 OKTOBER 2021.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat Ibu Pejabat Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) di sini hari ini.

Beliau juga merasmikan Program ANGKASA Virtual Run 2021 sempena Sambutan Jubli Emas penubuhan ANGKASA ke-50.

Turut hadir, Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Ketika ini, sebanyak 10,400 koperasi yang berdaftar yang menjadi ANGKSA.

Mengulas lanjut, Noh menambah, program kedua pula adalah Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (Transfer) di bawah Program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi dengan peruntukan RM10 juta.

Jelas beliau, Transfer bertujuan membantu koperasi yang memerlukan pembiayaan untuk menjalankan aktiviti dengan jumlah maksimum boleh dipohon sebanyak RM100,000.

“Ada peruntukan RM10 juta untuk kita bantu mana-mana koperasi terjejas dan permohonan bergantung keperluan dan berapa banyak yang boleh dipohon.

“Jadi tempoh 100 hari di bawah kementerian pimpinan saya, terdapat peruntukan RM13 juta disediakan.

“Saya berharap lebih ramai akan menyertai koperasi kerana terdapat koperasi yang memberi dividen lebih tinggi daripada bank,” katanya. – MalaysiaGazette

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar (tengah) dan pengurusan tertinggi MEDAC bergambar bersama ketika mengadakan lawatan rasmi ke  ngkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) di Wisma Ungku A. Aziz, Petaling Jaya, Selangor. Foto FARHAN MAHAMAD, 14 OKTOBER 2021.