lori air Air Selangor
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat ke 998 kawasan yang terjejas mulai 5 petang ini selepas kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) telah siap dilaksanakan pada jam 5 pagi tadi.

Pengurusan Air Selangor berkata, sehingga jam 6 pagi, sistem rawatan air di LRA SSP1 telah distabilkan dan bekalan air telah mula disalurkan ke sistem agihan bekalan air.

Bagaimanapun, katanya, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

Air Selangor terus menggerakkan bantuan air alternatif melalui lori-lori tangki ke premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta untuk upacara pengebumian. – MalaysiaGazette