Empat sekawan didenda RM16,000 selepas mengaku bersalah tawar pinjaman tidak wujud di Mahkamah Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG PERAI – Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini hari ini memerintahkan masing-masing empat sekawan membayar denda RM4,000 selepas didapati bersalah menawarkan pinjaman tidak wujud pada minggu lalu.

Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan menetapkan hukuman itu selepas tertuduh Lee Soon Ching, 21, Liew Hui Juan, 28, Connie Nam, 25, dan Ho Wei Lun, 33, mengaku bersalah.

Kesemua tertuduh yang terdiri daripada tiga wanita dan seorang lelaki itu turut diperintahkan menjalani hukuman penjara selama enam bulan sekiranya mereka gagal membayar denda manakala barang kes turut diperintah dilupuskan.

Suspek dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan tawarkan pinjaman tidak wujud.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama menawarkan pinjaman wang tidak wujud.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di B-11-03, Goodfield Resident, Jalan Bukit Minyak Permai 2 di sini kira-kira jam 4.05 petang pada 7 Oktober lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda atau kedua-dua sekali.

Masing-masing didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Jamal manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ima Syakira.

Mengikut fakta kes, sebanyak 44 laporan polis dibuat di seluruh negara berhubung satu sindiket pinjaman wang tidak wujud sejak Januari lalu dengan anggaran kerugian kira – kira RM401,815. – MalaysiaGazette