dpmm
Orang awam yang disyaki positif Covid-19 hadir seawal pagi bagi melakukan penilaian kesihatan di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang. Foto MOHD ADZLAN, 01 OGOS 2021. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menaik taraf perkhidmatan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) sebagai persediaan ke fasa endemik.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, proses penaiktarafan itu melibatkan beberapa fungsi baharu yang akan dilaksanakan secara berperingkat.

Katanya, langkah itu adalah bagi memperluaskan kebolehcapaian CAC kepada lebih ramai pesakit Covid-19 dan mereka yang disyaki dijangkiti wabak tersebut.

“Antara inisiatif yang dilakukan ialah Penambahbaikan penilaian kes Covid-19 di fasiliti Kesihatan Primer dan menggalakkan penglibatan pengamal perubatan swasta
dalam menyediakan alternatif perkhidmatan CAC GP dan CAC Swasta kepada pesakit Covid-19 supaya pemantauan terhadap kuarantin di rumah dapat dilakukan dengan lebih efektif dan meluas.

“Turut dilakukan adalah perluasan CAC Maya (Virtual CAC) ke seluruh negara serta perkhidmatan rakaman suara automatik (robocall),” katanya menerusi kenyataan mengenai perkembangan terkini Covid-19, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, Klinik Kesihatan (KK) akan melakukan ujian pengesahan bagi orang yang disyaki dan individu bergejala boleh tampil ke KK berdekatan bagi menjalani pemeriksaaan dan penilaian kesihatan yang boleh dibuat secara walk-in dan janji temu.

Bagaimanapun katanya, bagi mengurangkan kesesakan dan masa menunggu yang lama serta mengurangkan risiko jangkitan silang, masyarakat digalakkan untuk membuat janji temu terlebih dahulu. – MalaysiaGazette