Tengku Razaleigh Hamzah

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah mengakui masih belum menerima surat daripada UMNO selepas meletak jawatan sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO.

Beliau berkata, surat peletakan jawatan itu telah diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bulan lalu.

“Saya pun tak pasti sama ada UMNO terima atau tidak keputusan saya ini.

“Tetapi saya tetap dengan keputusan kerana peletakan jawatan itu saya kira segala cadangan tidak diterima pakai oleh parti,” katanya ketika menjadi panel dalam program Webinar ‘UMNO Yang Hilang’ anjuran Majlis Perundangan Melayu hari ini.

Tengku Razaleigh melepas jawatan pada 20 September lalu.

Peletakan jawatan itu dipercayai selepas Tengku Razaleigh melahirkan rasa kecewa dengan pembentukan Kerajaan Persekutuan hari ini yang didominasi oleh pemimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang beliau dakwa gagal menangani krisis negara.

Pemilihan Jemaah Menteri dalam kalangan pemimpin PN itu juga seolah-olah menunjukkan UMNO merestui kegagalan mereka ketika mentadbir negara sebelum ini.

Sementara itu, Tengku Razaleigh turut mengulangi pendiriannya bahawa UMNO lama perlu dihidupkan semula kerana kedudukan politik semasa yang tidak stabil.

“Dengan keadaan sekarang, macam mana kita nak yakinkan orang luar. Kerajaan kita pun bertukar hingga tiga kali dalam masa yang begitu singkat.

“Kerana keadaan politik kita yang berkecamuk dan paling penting ramai yang berjawatan dan ada kedudukan menjadi penentu, itu tidak baik,” katanya.

Jelas beliau lagi, UMNO lama sudah membuktikan pelbagai kejayaan dan ia sama sekali tidak mampu dilakukan oleh UMNO sekarang yang baharu berusia 33 tahun.

“UMNO lama atau UMNO asal ini sudah membuktikan kejayaan sebagai contoh bagaimana berjaya menentang British hingga tidak berlaku penjajahan di negara kita.

“Itu semua dilakukan oleh Malayan Union. UMNO asal didukung oleh banyak persatuan yang bersama-sama parti bukan untuk kepentingan parti sebaliknya bekerja untuk rakyat dan negara,” katanya.

Tambah Tengku Razaleigh atau lebih dikenali dengan panggilan Ku Li jika tidak dilakukan sesuatu perubahan, tidak mungkin Malaysia akan dipimpin oleh mereka yang bukan Melayu.

“Bangun pagi tengok pemimpin bukan kalangan kita lagi, tak takut ke?

“Kembalilah kepada akar, kerana yang lama ini tidak ada salahnya, malah lebih bagus dalam pentadbiran,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast