45 individu dikenakan kompaun RM1,500 setiap seorang manakala tiga ditahan kerana dikesan positif dadah terlarang di sebuah pusat hiburan di Sungai Way dalam serbuan awal pagi tadi.

PETALING JAYA – Seramai 45 individu yang berada dalam sebuah sebuah pusat hiburan yang beroperasi melebihi masa didenda manakala lima wanita warga asing ditahan selepas didapati tidak memiliki dokumen sah.

Tiga daripada mereka termasuk seorang wanita asing didapati positif dadah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, serbuan itu dilakukan di sebuah pusat hiburan di kawasan Sungai Way sekitar jam 4 pagi hari ini.

“Semasa serbuan mendapati enam lelaki warganegara tempatan sedang bekerja sebagai pelayan.

“Pemeriksaan lanjut ke atas premis tersebut mendapati terdapat lima wanita warganegara asing yang disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) sedang berhibur bersama pelanggan yang terdiri daripada 16 lelaki dan 18 wanita warganegara tempatan di dalam empat buah bilik karaoke yang berasingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua pekerja dan pelanggan yang diperiksa di pusat hiburan itu adalah berumur lingkungan 19 hingga 70 tahun.

Ujian saringan air kencing ke atas pekerja dan pelanggan di premis tersebut mendapati dua lelaki warganegara tempatan dan seorang wanita warganegara asing disahkan positif dadah jenis amphetamine, tetrahydrocannabinol dan ketamin.

Kesemua pekerja dan pelanggan warganegara tempatan telah dikeluarkan kompaun berjumlah RM67,500 iaitu sebanyak RM 1,500 setiap seorang atas kesalahan di bawah peraturan 17 peraturan-peraturan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit (no. 3) 2021 kerana gagal memastikan penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka di tempat awam yang sesak.

Selain daripada itu, seorang lelaki warga tempatan yang merupakan pengurus premis itu telah ditahan untuk tindakan lanjut kerana disyaki telah menggaji pekerja warganegara asing tanpa permit manakala lima wanita warganegara asing tersebut turut ditahan kerana disyaki telah bekerja tanpa permit yang sah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 11(1) Enakmen Hiburan dan tempat-tempat hiburan negeri Selangor kerana beroperasi lebih masa terhadap pengurus premis.

Manakala siasatan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 diambil terhadap lima wanita warganegara asing tersebut yang kini ditahan reman selama 14 hari di bawah seksyen 51(5)(b) akta imigresen 1959/63.

“Polis menasihatkan para peniaga dan juga masyarakat supaya sentiasa mematuhi SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3 sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

“Tindakan mengingkari arahan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia adalah perbuatan tidak bertanggungjawab yang menjadi salah satu faktor kegagalan bagi segala usaha yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam memutuskan rantaian covid-19,” tegasnya.-MalaysiaGazette