Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman 34 individu termasuk bekas Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan membatalkan notis kompaun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ini berhubung dakwaan terhadap kesemua 34 individu itu menerima wang dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tiga panel hakim yang diketuai oleh Datuk Suraya Othman sebulat suara memutuskan cabaran semua individu terhadap notis itu melalui prosiding sivil sebenarnya ditujukan kepada Peguam Negara yang juga pendakwa raya.

Turut bersidang ialah Datuk Darryl Goon Siew Chye dan Datuk Seri Mariana Yahya.

“Peringkat ini, terlalu awal untuk mereka mencabar kuasa pendakwa raya dalam menggunakan budi bicara membenarkan SPRM mengeluarkan notis kompaun. Notis hanya boleh dicabar jika mereka telah dituduh.

“Kami berpendapat bahawa adalah pramatang di pihak perayu untuk mencabar kuasa pendakwa raya dalam menjalankan budi bicaranya untuk memberi kuasa kepada responden untuk mengeluarkan tawaran mengkompaun kesalahan di bawah AMLATFPUAA.

“Undang-undang lazimnya adalah kuasa pendakwa raya untuk mendakwa sesiapa sahaja yang boleh digunakannya pada bila-bila masa,” katanya ketika prosiding atas talian hari ini.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi menolak permohonan 32 individu untuk mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman selepas Jabatan Peguam Negara mengemukakan bantahan awal atas alasan bahawa permohonan pemohon tidak mempunyai prima facie, kes yang boleh dipertikaikan selain remeh, dan penyalahgunaan proses mahkamah.

Dalam permohonan itu, kesemua pemohon memohon pengisytiharan bahawa keputusan dan tindakan responden kedua (SPRM) mengkompaun mereka melalui Tawaran Untuk Mengkompaun Kesalahan bertarikh 7 Okt 2019 sebagai ultra vires, tidak sah, batal dan tidak boleh dikuatkuasakan.

Pemohon juga memohon perintah bagi membatalkan keputusan dan tindakan SPRM mengkompaun mereka selain memohon perintah untuk melarang suruhanjaya itu daripada menguatkuasakan kompaun berkenaan atau meneruskan pendakwaan terhadap mereka.

Mereka juga memohon pengisytiharan bahawa kenyataan responden pertama (Ketua Pesuruhjaya SPRM) ketika sidang media berhubung keputusan mengeluarkan notis kompaun terhadap ketiga-tiga pemohon atas alasan untuk mendapatkan semula dana 1MDB yang dikatakan wang rakyat adalah pramatang, salah tanggap dan salah guna jawatan awam.

Ketika itu, Latheefa Koya, dalam sidang media berkata SPRM telah mengeluarkan notis kompaun kepada 80 individu dan entiti yang menerima wang berjumlah RM420 juta dipercayai daripada 1MDB dari bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. -MalaysiaGazette