Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditemukan lemas dipercayai terjatuh di sebuah kolam berhampiran Taman Bukit Saga, Mantin, dekat sini lewat malam tadi.- Gambar hiasan.

IPOH – Seorang lelaki ditemukan lemas di kawasan rekreasi air terjun Lubuk Degong, Bidor, kira-kira 70 kilometer dari sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mayat R. Tharsan, 20, ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 11 pagi tadi.

Katanya, mangsa bersama rakan wanitanya berusia 20 tahun telah pergi ke kawasan rekreasi berkenaan petang semalam dan semasa mandi mangsa mengajak rakannya itu untuk naik ke kawasan lebih tinggi di air terjun berkenaan.

“Rakan mangsa hanya mengikutnya separuh jalan dan berpatah balik untuk menjaga barang yang dibawa.

“Mangsa naik seorang diri mengikut denai yang ada, bagaimanapun pada 6.30 petang mangsa masih belum turun dan rakannya turun ke kawasan kampung Orang Asli untuk meminta bantuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Wan Azharuddin berkata, semasa kejadian Tharsan hanya berseluar hitam dan ditemukan lemas di satu lubuk tempat seliparnya dijumpai dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk dibedah siasat. – Bernama