Haryani Abdullah

KUANTAN – Universiti Malaysia Pahang (UMP) menggunakan sistem UMP Trace dalam aplikasi ADAB UMP bagi memudahkan pemantauan serta pergerakan pelajar di kampus dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Pengurus Besar Jabatan Hal Ehwal Pelajar (UMP), Haryani Abdullah berkata, sistem tersebut menyerupai penggunaan dan pendaftaran MySejahtera di mana ia dibangunkan oleh pihak universiti untuk kegunaan pemantauan dalaman.

“UMP Trace digunakan sebagai kawalan tambahan di residen pelajar, contoh sekiranya wujud jumlah kes positif dan kontak rapat melebihi jumlah kapasiti bilik isolasi yang terdapat residen pelajar.

“Sistem UMP Trace terdapat dalam aplikasi ADAB UMP yang baru dilancarkan pada Ogos lalu sebagai platform bagi pelajar untuk mendapatkan pelbagai maklumat terkini sepanjang pengajian di universiti ini,” katanya.

Menurutnya, pelajar perlu memuat turun aplikasi ini bagi memudahkan pelajar untuk mendapatkan maklumat terkini berkenaan akademik, kebajikan pelajar, kewangan pelajar dan kemudahan yang terdapat di UMP.

Jelas Haryani, UMP turut merangka pendekatan strategik bagi mengurangkan kemasukan jangkitan Covid-19 dari luar kampus dan menghadkan penyebaran wabak apabila terdapat jangkitan di dalam kampus.

Dalam pada itu, UMP menyiapkan garis panduan lengkap kemasukan pelajar dengan pembabitan semua jabatan di kampus termasuk Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta,

Selain itu, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Bahagian Keselamatan, Pusat Kesihatan Universiti (PKU) dan Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi juga terlibat sama.

“Pihak universiti sentiasa berusaha untuk mewujudkan gelembung kampus bagi memastikan kampus yang selamat dan warga universiti mencapai imuniti kelompok agar penularan wabak Covid-19 dapat dibendung.

“Bagi proses kembali kampus ini, setiap pelajar perlu jalani ujian Covid-19 yang akan dibantu oleh Pusat Kesihatan Universiti dan bagi keputusan pelajar negatif sahaja dibenarkan masuk ke kampus,” ujarnya.

Terdahulu, seramai 6,500 penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) kembali ke kampus dan secara berperingkat melibatkan pelajar di luar Pahang termasuk di Sabah dan Sarawak selain pelajar antarabangsa. – MalaysiaGazette